suria

Dua Pelatih PTD Dijangkiti Virus H1N1 - Liow

KUALA LUMPUR: Dua pelatih Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dari pusat latihan Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di Baling, Kedah dikesan mengalami jangkitan virus influenza A (H1N1), kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata kedua-duanya adalah antara 51 pelatih dari pusat latihan itu, menempatkan keseluruhan 109 pelatih, sebelum ini dikesan mempunyai simptom influenza seperti demam dan selesema berterusan.

Dua pelatih itu kini dirawat di sebuah hospital swasta di Ipoh, Perak selepas dimasukkan ke hospital itu ketika kumpulan pelatih itu dalam perjalanan ke sebuah pusat latihan di Ipoh semalam, katanya.

"Baki 49 pelatih hanya mempunyai simptom penyakit serupa Influenza (ILI) dan mereka dibenarkan meneruskan latihan seperti biasa," katanya dalam sidang media selepas merasmikan kempen Gaya Hidup Sihat Dengan Lompat Tali di sini, Khamis.

Liow menasihatkan rakyat agar menitikberatkan amalan membasuh tangan menggunakan teknik betul bagi menjaga kesihatan serta segera mendapatkan rawatan di hospital atau klinik sekiranya demam atau selesema.

"Virus ini bukan baharu di negara kita dan ia mudah merebak jika kita berada di dalam kumpulan yang ramai," katanya.

Mengenai kempen kesihatan itu, Liow berkata program bersama Kelab Rotary Kuala Lumpur itu menyasarkan generasi muda khususnya pelajar sekolah selaras dengan kempen 'Satu Murid, Satu Sukan' bagi membanteras masalah obesiti.

Beliau berkata kementerian memandang serius peningkatan kadar obesiti di negara ini dan menyarankan lebih ramai individu atau badan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam program kesihatan seumpama itu.

"Kajian mengenai kadar obesiti mendapati Malaysia berada di tangga keenam di Asia dan ini menjadi satu kemestian kepada kementerian untuk mengambil inisiatif bermula dari akar umbi bagi mengekang obesiti," katanya.

Liow sebelum ini mengumumkan hasil kajian dijalankan kementerian pada April tahun lepas mendapati 27.5 peratus pelajar sekolah mengalami masalah obesiti.

Presiden Kelab Rotary Kuala Lumpur Chan Kam Fatt berkata sebanyak 100,000 tali berkualiti tinggi akan diedarkan ke sekolah rendah dan menengah seluruh negara bagi memberi galakan kepada pelajar supaya mengamalkan aktiviti lompat tali. - BERNAMA

Artikel Lain