suria

Dr Mahathir Akui Beri Kerakyatan Kepada Pendatang Filipina Di Sabah

SHAH ALAM : Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis mengakui memberi kerakyatan kepada pendatang Filipina di Sabah ketika memegang tampuk pemerintahan negara kerana mereka memenuhi syarat ditetapkan undang-undang. "Ramai (pendatang Filipina) di Sabah, berada di sana bukan satu dua hari tapi sudah 20 tahun 30 tahun, mereka cakap bahasa Melayu dan berhak jadi rakyat Malaysia," katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas Program Bicara Minda Tun Dr Mahahir Mohamad: Masa Depan Melayu dan Islam Selepas PRU-13" di sini hari ini, beliau berkata masalah timbul apabila ada orang tidak senang apabila ada orang mendapat kerakyatan Malaysia. "Mereka yang berhak jadi rakyat dan penuhi syarat, kita bagi. Saya akui saya bagi, di zaman saya, saya bagi. Orang ini sebelum kita merdeka mereka ulang alik dari selatan Filipina ke Sabah kerana mereka tidak terima sempadan digaris penjajah.

"Begitu juga dengan mereka yang datang menyeberang lautan dari Sumatera ke Semenanjung Malaysia," katanya. Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal berita memetik Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat Mohamed Azmin Ali yang mendakwa perkembangan terbaharu siasatan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) dalam isu pendatang asing di Sabah mendapati Dr Mahathir seorang "pengkhianat negara". "Kita memang terima sesiapa yang berada di sini adalah rakyat di sini, kenapa nak tolak mereka? Mereka bekerja, kalau buat jenayah, undang-undang pun akan dikenakan juga kepada mereka," kata Dr Mahathir.

Mengenai dakwaan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob mengarahkan pengeluaran resit kad pengenalan sementara semata-mata untuk tujuan pilihan raya, beliau berkata: "Sama ada secara kebetulan atau sengaja saya tidak tahu."

Beliau berkata adalah menjadi hak kepada pendatang Filipina itu untuk mengundi sesiapa sahaja apabila mereka mendapat kerakyatan Malaysia.

Ditanya sama ada beliau sanggup disapina dalam pendengaran awam RCI itu, Dr Mahathir berkata: "Jika mereka minta saya, saya akan pergi...saya tidak pernah tolak sapina." - BERNAMA

Artikel Lain