suria

TNB Bercadang Beri Insentif Kepada Pelapor Kecurian Peralatan Di Pencawang

KOTA BAHARU: Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kelantan bercadang memberi insentif kepada pemberi maklumat kejadian mencuri peralatan pendawaian di pencawang elektrik yang semakin serius di negeri ini.

Pengurus Besar TNB Kelantan Datuk Zulkifli Ab Rahman berkata walaupun kos fizikalnya kecil, kejadian itu boleh mengganggu perkhidmatan bekalan elektrik selain kerosakan pada peralatan elektrik.

Alat yang sering dicuri itu dikenali sebagai dawai pembumian elektrik terdapat di setiap pencawang bagi mengawal kuasa elektrik dari voltan tinggi ke premis pelanggan.

Bercakap kepada pemberita pada Program TNB Bersama Pelanggan peringkat Negeri Kelantan di Menara TNB di sini, Rabu, beliau menyifatkan kejadian kecurian seperti itu di negeri ini serius dan perlu diambil tindakan segera.

Katanya dalam tempoh seminggu dari 6 Jan hingga 12 Jan sahaja, enam kes kecurian dilaporkan berlaku kebanyakannya di pencawang elektrik di jajahan Pasir Mas dan Tumpat.

"Kejadian ini bukan sahaja menyebabkan gangguan dan kerosakan peralatan elektrik tetapi boleh mengancam nyawa penjenayah terbabit," katanya.

Sementara itu, Ketua Wilayah (Timur) Suruhanjaya Tenaga TNB, Nora Ab Ghani berkata pihaknya sedang meningkatkan kerjasama dengan pengurusan TNB kawasan dalam membanteras kegiatan itu.

Ini, katanya penting untuk menjaga keselamatan pengguna elektrik dan nyawa mereka yang menceroboh harta benda syarikat.

Beliau berkata TNB Wilayah Timur akan meningkatkan program kempen keselamatan penggunaan elektrik di kalangan pengguna individu dan syarikat di wilayah itu. BERNAMA

Artikel Lain