suria

Tiada Rundingan Untuk Tutup Siasatan Terhadap NFC - Pengarah JSJK

KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Syed Ismail Syed Azizan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa tiada sebarang rundingan dibuat untuk menutup siasatan kes terhadap syarikat National Feedlot Corporation (NFC).

Syed Ismail, 58, berkata pihaknya tidak pernah membuat sebarang rundingan termasuk ke arah menyelesaikan kes NFC ketika bertemu bekas pengarah syarikat itu, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan ahli perniagaan Shamsubahrin Ismail di pejabat beliau di Bukit Aman pada November 2011.

"Kes ini merupakan kes berprofil tinggi bagi jabatan ini (JSJK)... tidak mungkin saya berani untuk menutup kes begitu sahaja, sekiranya ada kes yang kita hendak tutup, kita perlu merujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya dahulu," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa.

Beliau berkata demikian pada perbicaraan kes Shamsubahrin yang berdepan 17 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.755 juta mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Shamsubahrin turut berdepan lima pertuduhan menipu Mohamad Salleh membabitkan jumlah yang sama mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ketika disoal Razak sama ada pernah berbincang atau berunding dengan Mohamad Salleh untuk menarik balik siasatan terhadap NFC, saksi ke-26 pendakwaan itu berkata beliau tidak pernah berbuat demikian.

Terdahulu, menjawab soalan Razak bagaimana beliau boleh bertemu tertuduh dan Mohamad Salleh di pejabatnya, Syed Ismail berkata sebelum itu, Shamsubahrin ada menghubunginya.

"Menerusi panggilan itu, beliau (tertuduh) memperkenalkan diri sebagai Datuk Sham daripada pejabat Tun M. Dalam perbualan itu, tertuduh meminta untuk berjumpa dengan saya, dan menurutnya, Tun M meminta beliau menguruskan kes NFC," katanya yang beranggapan Tun M adalah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Maka saya beritahu beliau sekiranya nak jumpa saya datang ke pejabat. Saya beranggapan Tun M adalah Tun Dr Mahathir Mohamad sebab itu saya bersetuju untuk berjumpa Shamsubahrin di pejabat saya, " katanya.

Selain itu, Beliau berkata pihak polis tidak pernah meminta RM250,000 daripada Shamsubahrin untuk menyelesaikan kes NFC.

Sementara itu, saksi ke-28 pendakwaan Pegawai Penyiasat JSJK ASP Nordin Md Nor memberitahu mahkamah beliau menerima dokumen berkaitan pekerja NFC daripada Shamsubahrin.

"Semasa Datuk Sham menyerahkan dokumen berkaitan pekerja NFC seperti yang diminta oleh saya, dalam dokumen itu turut disertakan sampul surat kecil yang dalamnya berisi wang RM3,000.

"Saya tidak mengambil wang itu, saya serahkan balik wang itu dan nyatakan pada Datuk Sham yang saya hanya perlukan dokumen sahaja," katanya sambil menambah sebelum itu, beliau turut mendapat SMS daripada tertuduh berkaitan sampul berisi wang tersebut.

Nordin berkata Shamsubahrin turut memaklumkan kepadanya yang beliau (Shamsubahrin) dihantar oleh Dr Mahathir.

Saksi itu juga berkata beliau kemudian membuat pengesahan dengan Dr Mahathir berhubung dakwaan tertuduh bahawa dia dihantar oleh bekas Perdana Menteri itu bagi membantu penyiasatan kes NFC.

Nordin berkata Dr Mahathir memaklumkan kepadanya bahawa tertuduh bukan dari pejabat beliau.

Perbicaraan di depan Hakim Rozilah Salleh bersambung esok. - BERNAMA

Artikel Lain