suria

Polis Tahan Pembantu Jurutera Dan Mekanik Miliki Pistol Tiruan

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang pembantu jurutera dan mekanik kerana memiliki pistol tiruan dalam sekatan jalan raya di Persiaran Subang USJ 20, Subang Jaya, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata dua lelaki berusia 23 dan 25 tahun itu ditahan pada 11.30 malam, dipercayai ketika dalam perjalanan ke Bandar Sunway untuk menjual pistol itu.

"Kami menahan sebuah kereta Myvi dan ketika pemeriksaan dilakukan, terdapat tiga pucuk pistol tiruan dan sepasang gari di bahagian letak kaki penumpang belakang.

"Pistol itu menyerupai pistol jenis Pietro Beretta tetapi dipercayai untuk menembak cicak," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini Rabu.

Siasatan awal mendapati pistol tersebut dibeli dengan harga RM80 sepucuk dan RM30 untuk sepasang gari.

"Kami juga mendapati pistol dan gari itu dibeli di selatan Thai pada 31 Dis tahun lepas. Suspek menjualnya di sebuah laman web (lelong.com) dengan harga RM450 sepucuk," katanya dan menambah enam orang berminat untuk membeli pistol tersebut.

Yahaya berkata kedua-dua suspek ditahan reman sehingga esok dan disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata kerana memiliki dan mengimport senjata. - BERNAMA

Artikel Lain