suria

PM Mula Dengar Taklimat Dari Peringkat Bahagian BN Di Selangor

SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mula mendengar taklimat dari setiap bahagian Barisan Nasional (BN) di Selangor berhubung persediaan dan gerak kerja jentera parti itu menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Koordinator BN Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata perjumpaan tertutup telah diadakan membabitkan lima bahagian BN iaitu Ampang, Pandan, Hulu Langat, Serdang dan Puchong baru-baru ini bagi tujuan berkenaan.

Beliau berkata satu lagi siri pertemuan yang sama juga dijadual akan diadakan dalam masa terdekat membabitkan bahagian Gombak, Selayang, Subang, Kelana Jaya dan Petaling Jaya Selatan.

"Taklimat berkenaan disampaikan oleh pemimpin tertinggi di bahagian masing-masing mengenai persedian yang dibuat bagi menghadapi PRU akan datang," katanya pada sidang media di sini Rabu.

Mohd Zin berkata Najib selaku Pengerusi BN Selangor turut memberi arahan dan tindakan yang perlu diambil untuk mengukuhkan lagi persiapan jentera parti dalam menghadapi PRU.

Beliau berkata antara yang ditekankan Perdana Menteri ialah untuk memastikan kesatuan dan perpaduan dalam parti sentiasa dipelihara dalam usaha menyusun barisan yang padu dalam memastikan kemenangan BN di negeri itu.

"PM turut meminta supaya kalau ada sengketa dalaman ia perlu dihapuskan oleh semua pihak demi kepentingan parti," katanya.

Mohd Zin berkata BN Selangor juga dalam proses menyediakan draf akhir Manifesto BN negeri untuk pilihan raya akan datang yang berkonsepkan janji-janji yang akan ditepati sekiranya memerintah kembali Selangor.

Beliau berkata manifesto itu meliputi perkara yang berkaitan bidang kuasa B Ndan kemampuan untuk memastikan hak rakyat terbela.

"Kita akan berikan tumpuan kepada membela nasib rakyat dan akan mengadakan perbincangan di peringkat masyarakat untuk mendengar sendiri apa harapan, tuntutan dan maklum balas dari rakyat terhadap BN," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain