suria

Peguam Negara Minta Pemegang Kepentingan Beri Lebih Banyak Input Untuk Semak Semula Undang-Undang

KUALA LUMPUR: Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail pada Rabu meminta pemegang kepentingan memberi lebih banyak input dan cadangan bagi membantu jabatan beliau melaksanakan transformasi undang-undang, sejajar dengan keperluan semasa negara dan rakyat.

Beliau berkata para pemegang kepentingan perlu meningkatkan usaha untuk mencari cara dan kaedah yang membolehkan rakyat Malaysia menterjemah konsep demokrasi fungsian, tanpa mengorbankan kepentingan negara.

"Kita perlu berani menghadapi perubahan dan transformasi untuk mencari prospek lebih baik, walaupun ini bererti kita perlu keluar dari zon selesa," katanya ketika merasmikan penutupan persidangan tiga hari mengenai Transformasi Undang-undang Keselamatan dan Hak Asasi di sebuah hotel di sini.

Beliau berkata kini, undang-undang yang ada di Malaysia bukan saja menjadi alat untuk mengawal selia manusia, tetapi juga untuk membentuk tingkah laku dan norma kehidupan mereka.

"Oleh itu, isu kawal selia, kebebasan sivil dan tanggungjawab individu amat penting dan perlu ditangani untuk mencapai keseimbangan yang sewajarnya dan seperti yang diinginkan," kata beliau.

Mengenai penggubalan undang-undang baharu untuk menggantikan undang-undang sedia ada, beliau berkata ia akan dilakukan dalam lingkungan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya undang-undang berkaitan kebebasan bersuara akan dilaksanakan sejajar dengan prosedur perundangan yang sesuai bagi menangani keperluan semasa.

"Pindaan telah dibuat terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) untuk memberi lebih banyak kebebasan kepada pelajar dan pertubuhan pelajar menyuarakan pendapat dan berpersatuan, di samping menambah hak dan tanggungjawab mereka.

"Pindaan ini membolehkan pelajar melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan politik di luar universiti. Had ini dibuat berdasarkan pertimbangan bahawa sebagai institusi pengajian tertinggi, universiti perlu terus bebas daripada politik demi kepentingan negara. Setiap orang perlu bertindak secara bertanggungjawab," katanya.

Mengulas satu isu yang dibincang dalam media baharu pada persidangan itu, Gani berkata penyalahgunaan media baharu dapat dilihat dengan jelas daripada peningkatan jumlah sungutan berkaitan tindakan tidak bertanggungjawab seperti jenayah siber, yang melibatkan penyaluran maklumat palsu, mengelirukan, lucah dan tidak sopan.

Kata beliau walaupun media baharu menarik ramai pengguna, terutama kerana ciri istimewa yang dimilikinya, orang ramai tidak sepatutnya hanya melihat kepada hak asasi individu, tetapi juga hak negara.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Gani berkata peserta persidangan itu prihatin terhadap hak individu semua rakyat Malaysia dan jabatan beliau menyambut baik pandangan dan idea mereka.

"Mereka boleh e-mel atau menulis kepada kami dan input yang mereka beri akan diambil kira apabila kami merangka atau meminda undang-undang nanti," katanya.

Mengenai cadangan penubuhan majlis media, beliau berkata sehingga kini, lapan mesyuarat telah diadakan, termasuk dengan para penulis blog dan Kelab Pewarta Luar Malaysia.

Katanya dalam perbincangan yang diadakan, antara isu yang beliau bangkitkan ialah penggubalan prosedur untuk menangani aduan berkaitan salah laku. - BERNAMA

Artikel Lain