suria

PBS Dijangka Aktifkan Sepenuhnya Jentera P/Raya Di Semua PDM Hujung Bulan Ini

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) dijangka mengaktifkan sepenuhnya kesemua Pusat Daerah Mengundi (PDM) parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang, pada hujung bulan ini.

Ketua Penerangan PBS Datuk Johnny Mositun berkata presiden parti Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dijangka mengarahkan semua PDM berbuat demikian sebaik sahaja selesai khemah kerja pemantapan jentera pilihan raya parti dari 18 Jan hingga 20 Jan ini di Kem Bina Negara di Kundasang.

"Walaupun Parti Bersatu Sabah sudah lama bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang, namun kita akan aktifkan sepenuhnya jentera pilihan raya di kesemua PDM bagi membantu Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan cemerlang di Sabah sama ada di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

"Bagi PBS, kita yakin majoriti rakyat negeri Sabah menyokong BN yang telah membuktikan kemampuannya mentabdir negeri dan negara ini dengan baik," katanya kepada Bernama, di sini Rabu.

Mositun yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah berkata khemah kerja tiga hari itu akan dihadiri pemimpin tertinggi PBS, barisan Exco Wanita dan Pemuda serta semua ketua bahagian.

Beliau berkata program itu antara lain bertujuan memantapkan persediaan jentera pilihan raya termasuk menangkis dakyah dan propaganda pembangkang menjelang pilihan raya yang dijangka getir itu.

Mositun berkata antara pemimpin yang akan menyampaikan kertas kerja sempena khemah kerja itu ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan setiausaha Kerja BN Datuk Abu Khamis.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dipetik sebagai berkata Majlis Tertinggi Umno telah membuat keputusan untuk mengaktifkan PDM di kesemua 191 Bahagian Umno dan 20,000 cawangan di seluruh negara. BERNAMA

Artikel Lain