suria

Loji Rawatan Air Sungai Semenyih Beroperasi Semula

SHAH ALAM: Loji Rawatan Air Sungai Semenyih yang dihentikan sementara operasinya, dibuka semula malam tadi, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata loji rawatan yang diurus oleh operator loji, Syarikat Konsortium Abass, terpaksa dihentikan operasinya sekitar pukul 1.30 tengah hari Isnin setelah dikesan terdapat bau minyak melebihi parameter yang dibenarkan.

Sehubungan itu, Abdul Khalid berkata penutupan sementara operasi loji itu selama enam jam dijangka menjejaskan bekalan air kepada pengguna di Subang, Puchong dan Sri Kembangan.

"Loji Rawatan Air Sungai Semenyih telah beroperasi seperti biasa namun ia masih memerlukan masa untuk air terawat sampai kepada pengguna kerana sistem agihan air kepada pengguna adalah di bawah kawalan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sepenuhnya sebagai operator tunggal agihan air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Justeru, Syabas perlu memastikan mekanisme agihan air terawat kepada pengguna berjalan lancar untuk mengelak gangguan bekalan air yang serius,”katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kakitangan Awam Negeri Selangor di sini, Selasa.

Abdul Khalid berkata Jabatan Alam Sekitar Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor telah melawat kawasan yang tercemar itu dan akan menghantar laporan untuk tindakan lanjut. BERNAMA

Artikel Lain