suria

KPDNKK Rampas 672 Silinder Gas Petroleum Cecair Bernilai RM100,000

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merampas 672 silinder gas petroleum cecair (LPG) bernilai kira-kira RM100,000 dalam serbuan di sebuah gudang berhampiran Stesen Komuter Segambut di sini, petang Rabu.

Ketua Penguatkuasa KPDNKK Selangor Othman Nawang berkata dalam serbuan pada kira-kira 4.30 petang itu, pihaknya turut menahan dua pekerja lelaki yang sedang memindahkan silinder gas berkenaan di premis terbabit bagi membantu siasatan.

"Siasatan awal mendapati gudang itu dijadikan stor penyimpanan dan pemindahan subsidi LPG, yang dipercayai diseleweng bagi kegunaan domestik dan perindustrian, dan berdasarkan laporan yang diterima, premis itu telah diserbu dua kali sejak 2009," katanya ketika dihubungi Bernama Rabu.

Beliau berkata pihaknya sedang menyiasat bagi mengenal pasti dalang utama kegiatan itu, termasuk pemilik premis untuk siasatan lanjut.

Othman berkata 602 tong gas seberat 14 kilogram yang dirampas itu adalah untuk kegunaan domestik, manakala selebihnya berkapasiti 50 kilogram bagi kegunaan perindustrian. - BERNAMA

Artikel Lain