suria

Kementerian Pelajaran Timbang Wujud Lima Sekolah Komprehensif Di Pedalaman Sabah

KOTA KINABALU: Kementerian Pelajaran sedang mengkaji pelaksanaan Sekolah Model Khas Komprehensif (K9) di lima sekolah rendah di pedalaman Sabah bagi menangani isu keciciran murid.

Timbalan Menterinya Dr Mohd Puad Zarkashi berkata sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pensiangan, Nabawan; Sk Bawang, Beluran; Sk Sabur, Kudat; dan SK Buis serta SK Menanam di Tongod.

"Kita sedang mengkaji unjuran pelajar untuk melaksanakan K9 di Sabah kerana masalah ketiadaan sekolah menengah di sesetengah kawasan pedalaman Sabah membuatkan keciciran, murid tahun enam tidak dapat memasuki tingkatan satu, dua dan tiga," katanya kepada pemberita, di sini pada Rabu.

Mohd Puad sebelum itu melawat projek menaik taraf dan membaik pulih sekolah rendah serta menengah Pulau Gaya yang terletak kira-kira 15 minit perjalanan dengan bot dari sini.

Menurut Mohd Puad, setakat ini K9 dilaksana di dua sekolah iaitu di SK Kuala Lipis, Pahang yang membabitkan masyarakat Orang Asli dan di SK Long Bedian, Baram, Sarawak untuk komuniti Penan dengan perbelanjaan RM40 juta.

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata menerusi model itu, pelajar akan menghabiskan masa sembilan tahun di sekolah sama bagi mengikuti pengajian tahun satu hingga tingkatan tiga.

Mengulas perkara lain, Mohd Puad berkata sekolah di pedalaman Sabah berpotensi dibangunkan sebagai sekolah berprestasi tinggi dengan 193 sekolah kini berada pada Band Lima, 31 (Band Enam) dan lima pada Band Tujuh.

"Pada tahun ini, kita mahu mengurangkan 50 peratus sekolah dalam Band Lima, Enam dan Tujuh untuk dilonjakkan ke Band Empat sebelum melangkah ke Band Satu," katanya menambah sekolah terbabit berada pada band berkenaan kerana lokasi yang jauh dan kurang kemudahan asas, bukan kerana tiada daya saing.

Katanya sasaran itu berdasarkan empat inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dalam tempoh 100 hari pertama tahun ini.

Mengenai projek menaik taraf dua sekolah di Pulau Gaya itu, Mohd Puad berkata beliau berpuas hati dengan pelaksanaannya setakat ini.

Sejumlah RM19.9 juta diperuntukkan untuk menambah baik SK Pulau Gaya meliputi antaranya pembinaan jeti baharu, surau dan dewan terbuka, manakala RM6.4 juta untuk Sekolah Menengah Pulau Gaya bagi menggantikan bangunan yang terbakar pada 2011 dan membina 12 buah bilik darjah baharu.

Terdahulu, ketika berucap beliau mengumumkan peruntukan RM200 juta bagi pembelian perangkap sampah di SK Pulau Gaya. BERNAMA

Artikel Lain