suria

Jawatankuasa Khas Dibentuk Untuk Bantu 50,000 Pekerja Asing Stesen Minyak

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mencari peluang pekerjaan kepada 50,000 pekerja asing di stesen-stesen petrol yang dijangka akan diberhentikan kerana pelaksanaan dasar gaji minimum baru-baru ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata jawatankuasa yang diletakkan di bawah kementeriannya akan menyalurkan pekerja ke sektor-sektor lain yang mampu untuk mengupah mereka dengan gaji minimum RM900 bagi mereka yang bekerja di Semenanjung dan RM800 di Sabah dan Sarawak.

"Dasar gaji minimum akan dikekalkan dan kami tidak terkeluar dari dasar itu," katanya kepada pemberita, Rabu.

Pada Selasa, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah dilaporkan sebagai berkata bahawa pelaksanaan dasar itu dijangka menyebabkan kira-kira 50,000 warga asing yang bekerja di stesen minyak di seluruh negara kehilangan pekerjaan tahun ini.

Beliau berkata ini kerana majikan yang berdepan dengan peningkatan kos buruh akan menggalakkan perkhidmatan layan diri.

Gaji bulanan bagi seorang pekerja stesen minyak sebelum ini antara RM600 hingga RM700.

Subramaniam berkata demikian selepas membuat ucaptama beliau pada Pameran dan Persidangan Datacentre Malaysia yang kedua di Hotel Intercontinental di sini.

Persidangan dua hari itu dihadiri kira-kira 300 peserta industri dari 15 negara.

Menteri itu berkata dalam ucapannya, pusat data industri dilihat sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara dan dijangka menyumbang RM2.4bil kepada Pendapatan Negara Kasar Malaysia dan mewujudkan kira-kira 13,290 peluang pekerjaan di negara ini menjelang tahun 2020.

Artikel Lain