suria

Cuepacs Saran Skim Insurans Khas Kepada Penjawat Awam Lakukan Operasi Penguatkuasaan

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sedang meneliti dan mengkaji satu skim insurans khas untuk penjawat awam beruniform yang melakukan operasi penguatkuasaan di luar waktu pejabat.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata skim itu akan diusul kepada kerajaan dalam waktu terdekat bagi mengambil kira risiko yang dihadapi penjawat awam berkenaan.

"Saya lihat tugas anggota penguatkuasa yang melakukan operasi di luar waktu pejabat sering terdedah dengan risiko yang besar seperti ditimpa kemalangan dan sebagainya, jadi kita (Cuepacs) beranggapan wajar satu skim insurans khas diwujudkan untuk mereka ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau operasi bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di plaza tol Sungai Besi arah Seremban di sini malam Selasa.

Dalam pada itu, Omar turut mengutuk tindakan segelintir individu yang menterbalikkan kenderaan JPJ di Sitiawan baru-baru ini, dan berkata ia satu perbuatan yang tidak menghormati pihak berkuasa.

"Saya diberitahu beberapa individu yang terlibat dalam kejadian itu telah ditahan... ia satu perbuatan yang bukan sahaja merosakkan harta kerajaan malahan tindakan mereka juga tidak menghormati pihak berkuasa yang sedang menjalankan tugas," katanya.

Sementara itu, Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Nazri Osman berkata dalam operasi bersepadu ke atas motosikal yang bermula pada 8 malam itu, sebanyak 425 kenderaan diperiksa dengan lima lelaki ditahan kerana positif dadah.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati semua lelaki yang berusia 20 hingga 50 tahun itu positif dadah jenis ganja serta syabu, dan kini ditahan Agensi Anti Dadah Malaysia (AADK) untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, JPJ turut menyita 31 motosikal atas pelbagai kesalahan, antaranya tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

"JPJ turut mengeluarkan 161 saman atas pelbagai kesalahan terhadap penunggang motosikal seperti mengubah suai motosikal dan tidak mempamerkan plat kenderaan," katanya.

Nazri berkata operasi yang berakhir pada 11 malam ini disertai 60 anggota JPJ, 12 anggota AADK, 10 anggota polis, lima anggota Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan tiga anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. BERNAMA

Artikel Lain