suria

Caj Parkir Seragam Dapat Reaksi Positif Warga Kota

KUALA LUMPUR: Penyeragaman caj parkir yang diumum Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin semalam mendapat reaksi positif kebanyakan warga kota.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata sebagai sebuah badan yang bertindak melindungi hak-hak pengguna, penyeragaman caj parkir itu perlu supaya pengguna tidak terbeban dengan kadar caj tinggi.

"Kadar parkir yang tidak tetap memberi masalah kepada pengguna lebih-lebih lagi kepada mereka yang ditugaskan menghadiri acara rasmi di hotel-hotel," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Rabu.

Menurutnya Fomca ada menerima aduan dan rungutan daripada orang ramai terutama yang bekerja di bandar mengenai caj parkir tinggi namun ketiadaan garis panduan dan penyelarasan yang tetap menyukarkan pihaknya untuk membantu.

Semalam Raja Nong Chik mengumumkan kadar caj bayaran letak kereta di seluruh Kuala Lumpur akan diseragam mengikut zon dengan nilai siling yang ditetapkan bermula Rabu.

Caj letak kereta mengikut jam yang dibenarkan di kawasan perancangan pusat bandar adalah untuk jam yang pertama RM3 hingga RM6 (dalam bangunan), RM3 hingga RM5 (kawasan lapang), RM4 hingga RM8 (hotel) dan RM3 hingga RM6 (lain-lain kategori)

Bagi kawasan perancangan luar pusat bandar; jam pertama ialah RM1 hingga RM4 (dalam bangunan), RM1 hingga RM3 (kawasan lapang), RM3 hingga RM5 (hotel) dan 50 sen hingga RM2 (lain-lain kategori).

Keputusan itu diambil selepas pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat kajian dan mengadakan pertemuan dengan operator parkir bagi mencari mekanisme terbaik untuk mengatasi harga parkir yang mahal.

Juruteknik IT R.Kalarupan, 34, berkata penyeragaman caj parkir itu dapat mengurangkan beban golongan pekerja berpendapatan rendah sepertinya.

"Gaji saya cukup-cukup makan sahaja. Nak bayar duit minyak dan tol pun dah banyak. Bila caj parkir dah diselaraskan mudah untuk saya membuat anggaran perbelanjaan bulanan," katanya.

R.Kalarupan berkata dia terpaksa memperuntukkan kira-kira RM100 daripada gajinya sebulan untuk parkir sahaja.

Ejen insurans Siti Zulaika Zulkifli, 29, berkata pelaksanaan itu dapat mengelakkan orang ramai daripada meletak kenderaan di tempat haram.

"Pekerjaan saya yang memerlukan untuk berjumpa dengan klien dan ia menjadi masalah dengan caj parkir yang tinggi sehingga kadang-kadang terpaksa juga meletak kenderaan di lorong-lorong sempit dan di tepi-tepi jalan. Ini sangat berbahaya lebih-lebih lagi kepada kaum wanita," katanya.

Sementara itu pengusaha restoran Abdul Hamid Zabidi, 50, berkata kawasan restorannya di Ampang dipenuhi dengan kenderaan yang diparkir secara 'double-park'.

"Apabila bertanya kepada pelanggan ada yang menjawab mereka lebih suka parkir macam ni sebab tempat letak kereta di kawasan ini berbayar dan kadang-kadang mahal," katanya.

Menurutnya caj parkir yang berpatutan bukan sahaja menggalakkan orang ramai untuk mengunjungi restorannya namun juga dapat mengelakkan kesesakan lalu lintas. BERNAMA

Artikel Lain