suria

13,900 Pelajar Bayar Balik Pinjaman PTPTN Sekali Gus

TEMERLOH: Seramai 13,900 pelajar yang meminjam dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menikmati potongan 20 peratus apabila mereka membayar balik pinjaman tersebut sekali gus.

Pengerusi PTPTN Datuk Ismail Mohamed Said berkata pembayaran balik itu dibuat bagi tempoh 1 Oktober sehingga 15 Disember 2012 membabitkan pinjaman berjumlah RM47.94 juta.

"Kerajaan sebelum ini menawarkan diskaun 20 peratus menerusi pembentangan Belanjawan 2013 kepada peminjam yang membayar sekali gus pinjaman pengajian mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan pendidikan kepada pelajar Sekolah Kebangsaan Kuala Mai, Kuala Krau dekat sini, Rabu.

Beliau berkata daripada jumlah 13,900 yang membayar pinjaman berkenaan, 629 adalah peminjam yang disenaraikanhitamkan.

"PTPTN sedia berunding jika peminjam menghadapi masalah untuk membuat bayaran balik tetapi tindakan menghilang diri tidak membantu menyelesaikan masalah," katanya.

Beliau berkata setakat ini, PTPTN telah memberi pinjaman membabitkan peruntukan RM54.7 bilion kepada para pelajar melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara. - BERNAMA

Artikel Lain