suria

URB Berjaya Kurangkan Kadar Jenayah Di P.Pinang

BUKIT MERTAJAM: Kewujudan Pasukan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di kawasan perumahan di negeri ini berjaya menurunkan kadar jenayah di kawasan rondaan unit itu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata setakat ini 10 kawasan perumahan yang terlibat dalam program URB hanya mencatat tiga kes jenayah.

"Maklum balas yang kami terima daripada masyarakat juga positif kerana kehadiran polis berjaya mengurangkan perasaan takut mereka terhadap jenayah," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan Pauh Jaya (SKPJ), di sini Selasa.

Pada lawatan itu, Abdul Rahim turut menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada murid Tahun Satu SKPJ dan mengedar risalah kempen cegah jenayah kepada ibu bapa dan murid di sekolah berkenaan.

Kontijen Polis Pulau Pinang menerima 73 motosikal dan akan mendapat 60 buah lagi Mac ini untuk pasukan URB menjalankan rondaan di kawasan panas di sekitar negeri ini.

Abdul Rahim berkata pasukan URB turut memberi tumpuan kepada 100 sekolah di Pulau Pinang dan usaha itu adalah bagi memastikan kawalan keselamatan dan kadar jenayah di sekolah terus berkurangan. BERNAMA

Artikel Lain