suria

Tanah Perkampungan Orang Asli Akan Diwarta Dan Dibangunkan - Shafie

HULU SELANGOR: Kerajaan Pusat akan mewarta dan membangunkan kesemua tanah perkampungan Orang Asli di negeri Selangor seandainya Barisan Nasional (BN) kembali dipilih menerajui kerajaan negeri ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ia sebagai sebahagian langkah yang sedang dan akan dilakukan pihaknya dalam memberikan hak kepada kaum tersebut untuk sama-sama menikmati pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.

"Masyarakat Orang Asli merupakan komponen penting yang mampu memberi kemenangan kepada BN dan saya minta komuniti ini terus bersatu dan menyokong padu BN pada pilihan raya akan datang sehingga mampu merampas semula negeri Selangor daripada pembangkang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Kampung Orang Asli Tun Razak, Kuala Kubu Bharu dekat sini, Selasa.

"Pada tahun lepas, sebanyak 44 perkampungan kira-kira seluas 11,000 hektar tanah Orang Asli di negeri Perak telah kita rizabkan kepada kaum tersebut untuk mendapat pembangunan prasarana.

"Di Terengganu juga, hampir 100 peratus perkampungan Orang Asli berjaya dirizabkan dan di Pahang serta Johor juga sedang dalam pelaksanaan untuk diberi hak kepada masyarakat Orang Asli di kawasan tersebut," katanya.

"Malah, kita telah membuat perancangan rapi dari segi pendidikan dan bercadang untuk menambah peruntukan khusus untuk perumahan Orang Asli pada tahun ini bagi memastikan komuniti ini terus menikmati pembangunan sama rata," katanya.

Shafie berkata selain pembangunan di perkampungan, pihaknya juga memberi jaminan untuk menghantar anak-anak Orang Asli di Selangor yang cemerlang dalam pelajaran menyambung pengajian di luar negara dengan biasiswa sekiranya B Nkembali memerintah negeri ini.

Katanya sehingga kini, hampir 10,000 anak-anak Orang Asli seluruh negara mendapat pekerjaan di sektor awam dan swasta malah pihaknya turut membantu anak-anak Orang Asli yang tercicir sekolah mencari pekerjaan.

Sehubungan itu, beliau berkata kementeriannya mensasarkan tiga Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tahun ini bagi meningkatkan prestasi pendidikan masyarakat Orang Asli.

Beliau berkata sekurang-kurangnya 18 peratus atau 336 pelajar Orang Asli menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan seterusnya dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dalam negara.

Selain itu, katanya, kadar keciciran Orang Asli dari Tahun Enam ke Tingkatan Satu disasar untuk dikurangkan dua peratus daripada 27 peratus pada tahun lepas kepada 25 peratus, tahun ini.

Beliau juga berkata, pihaknya juga mensasarkan 10 calon pelajar cemerlang Orang Asli ditempatkan ke kolej persediaan melanjutkan pelajaran ke luar negara. - BERNAMA

Artikel Lain