suria

Kerajaan Digesa Campur Tangan Dalam Sistem Pengagihan Kontrak MRT

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk campur tangan di dalam sistem pengagihan pemberian projek Transit Pantas Massa (MRT) kepada lebih ramai kontraktor Bumiputera kerana sistem itu kini tidak telus, malah menimbulkan kekeliruan.

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Datuk Mokhtar Samad berkata pengagihan ketika ini dilakukan tanpa undian secara telus manakala pakej yang diberikan tidak diumumkan secara terbuka. "Sepatutnya, pengagihan pakej itu dilakukan menerusi proses cabut undi yang kemudiannya diumumkan secara terbuka," katanya dalam sidang media di sini, Selasa.

Projek MRT yang dikendalikan MRT Corp bernilai RM20 bilion di mana RM250 juta daripadanya diperuntukkan oleh kerajaan untuk diagihkan kepada kontraktor Bumiputera Kelas D, E, dan F yang berdaftar dengan Persatuan Khidmat Kontraktor, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan terletak di kawasan pakej berkenaan.

Menurut Mokhtar, daripada jumlah itu, 12 kontrak kecil bernilai RM15 juta telah diagihkan manakala lebih daripada 50 kontrak kecil bernilai keseluruhan RM235 juta masih belum diagihkan.

Bagaimana pun, katanya enam daripada kontraktor yang telah diberikan kontrak itu tidak menepati syarat yang ditetapkan kerana berdaftar di luar jajaran daerah laluan MRT yang sepatutnya.

"Mereka berdaftar di Negeri Sembilan dan tidak sepatutnya mendapat kontrak berkenaan."

"Kami masih mempunyai lebih daripada 3,600 kontraktor yang layak untuk menerima projek tersebut," katanya, sambil menunjukkan bukti dokumen pengagihan kontrak berkenaan.

Memandangkan pakej bernilai besar sudah diagihkan kepada kontraktor besar, beliau berkata PKMM berharap pakej-pakej yang kecil dapat diagihkan kepada kontraktor kecil Bumiputera seperti yang dijanjikan kerajaan selama ini.

Beliau juga mendakwa Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) tidak menjalankan tanggung jawab dengan baik dalam proses pengagihan tersebut dan PKMM berharap masalah itu tidak akan berjangkit kepada projek lain pada masa depan. - BERNAMA

Artikel Lain