suria

Kenyataan Khairy Tidak Jejas Reputasi Anwar - Peguam

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu reputasi Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak terjejas ekoran kenyataan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dalam satu ceramah politik di Kuala Kangsar, Perak enam tahun lepas.

Peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah berkata reputasi Anwar sudah pun terjejas ekoran pertuduhan salah guna kuasa dan liwat yang dihadapinya di mahkamah sebelum ini.

Sehubungan itu, Muhammad Shafee yang mewakili Khairy berkata pihaknya akan bergantung kepada semua kes berkenaan dalam tindakan saman fitnah RM100 juta yang difail Anwar terhadap Khairy pada 7 September 2007.

Muhammad Shafee berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Su Geok Yiam sama ada kes itu relevan dalam perbicaraan saman fitnah Anwar terhadap Khairy.

Anwar mendakwa Khairy, yang ketika itu Timbalan Ketua Pemuda Umno, mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya dalam satu majlis politik di Kuala Kangsar pada Ogos 2007, yang kemudian disiarkan media cetak dan elektronik pada 3 Ogos tahun sama.

Sementara itu, ketika menjawab soalan Muhammad Shafee pada prosiding Selasa, Anwar berkata kenyataan tersebut secara tersirat menggambarkan beliau sebagai tidak pernah memperjuang kepentingan politik bangsa Melayu di negara ini.

Perbicaraan bersambung pada Rabu. - BERNAMA

Artikel Lain