suria

Jumlah Pembantu Rumah Asing Alami Penurunan Ketara

BANGI: Jumlah pembantu rumah asing (PRA) yang berada di negara ini didapati mengalami penurunan ketara kepada 104,000 orang pada masa ini, berbanding 320,000 yang digajikan pada tahun 2008.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan berkata daripada 19 negara sumber, Indonesia masih merupakan negara sumber PRA terbesar diikuti Filipina dan Kemboja.

"Sejak penarikan balik pembekuan pembantu rumah Indonesia pada 1 Dis 2011 juga, bilangan pembantu rumah Indonesia yang dibawa masuk hanya 108 berbanding kira-kira 7,000 permohonan sebulan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Retreat Cadangan Konsep 'Life Beyond Maids' di Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Niosh) di sini, Selasa.

Maznah berkata selain kes-kes penderaan menyebabkan negara sumber enggan menghantar warga mereka ke negara ini, Malaysia juga perlu bersaing dengan negara-negara lain yang juga memerlukan pembantu rumah asing seperti Timur Tengah, Hong Kong, Taiwan dan Singapura.

Beliau berkata pembangunan ekonomi yang pesat di negara masing-masing juga membolehkan lebih banyak peluang pekerjaan ditawarkan di tempat mereka sendiri, malah Filipina umpamanya mempunyai dasar untuk menghentikan eksport tenaga kerja mereka sebagai PRA menjelang 2017.

Selain berusaha memulihkan bekalan PRA, kerajaan juga berusaha mencari penyelesaian jangka panjang dengan memperkenalkan konsep 'Life Beyond Maids', antaranya dengan memperkasa infrastuktur sedia ada seperti Pusat Jagaan Kanak-Kanak Komuniti serta perkhidmatan Pembantu Rumah Separuh Masa, katanya.

Maznah berkata masalah pembantu rumah juga boleh memberi kesan kepada tenaga kerja di negara ini terutama di kalangan kaum wanita yang terpaksa berhenti kerja untuk mengambil alih pengurusan aktiviti rumah tangga.

Beliau berkata kadar penyertaan tenaga kerja dalam pasaran buruh di negara ini adalah yang terendah di kalangan negara Asean iaitu sekitar 47 peratus, berbanding Thailand (70 peratus) dan Singapura (60 peratus), terutama di kalangan wanita.

Justeru pengenalan konsep itu juga bertujuan untuk menggalakkan dan meningkatkan penyertaan golongan tenaga kerja terpendam yang terdiri dari golongan wanita (3.4 juta), pesara (400,000) dan pelajar (2.7 juta) dalam pasaran buruh, katanya.

Program dua hari yang disertai wakil-wakil kementerian dan pihak-pihak berkepentingan dalam isu terbabit itu diadakan bagi mengenal pasti strategi, program dan pendekatan alternatif untuk mengurangkan kebergantungan terhadap PRA.

Sementara itu, beliau berkata kira-kira 50,000 pekerja asing di stesen-stesen pam minyak di seluruh negara dijangka diberhentikan tahun ini berikutan pelaksanaan gaji minimum RM900 sebulan di Semenanjung dan RM800 sebulan di Sabah dan Sarawak sejak 1 Jan lalu.

Bagaimanapun, Maznah berkata proses pemberhentian itu bergantung kepada kontrak di antara pekerja dengan majikan masing-masing.

"Bila gaji ini naik kita dapati majikan yang terlibat akan meningkatkan perkhidmatan layan diri kerana dulu kos murah jadi mereka lebih suka guna tenaga murah.

"Kita harap ini juga akan menarik minat pekerja tempatan untuk mengisi sebahagian kekosongan tersebut," katanya.

Kadar gaji untuk pekerja stesen pam minyak sebelum ini adalah antara RM600 hingga RM700 sebulan.

Pada masa ini terdapat lebih 3,000 stesen minyak yang beroperasi di seluruh negara. BERNAMA

Artikel Lain