suria

Gangguan Bekalan Air Di Lima Daerah Dijangka Lima Hingga Tujuh Hari

SHAH ALAM: Loji Rawatan Air Sungai Semenyih yang dihentikan operasinya kira-kira tujuh jam sejak 1.30 tengah hari Isnin apabila pencemaran air dikesan di sungai itu, dijangka mengakibatkan gangguan bekalan air selama lima hingga tujuh hari kepada pengguna di lima daerah.

Daerah terlibat ialah Petaling, Sepang, Klang, Kuala Langat, dan yang paling serius daerah Hulu Langat yang membabitkan kira-kira 125,000 pengguna di sekitar Bandar Baru Bangi, Kajang dan Sungai Chuah.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata pihaknya memandang serius masalah yang menimpa orang ramai dan sedang berusaha keras mencari jalan terbaik menanganinya.

Katanya selain pembekalan menerusi lori tangki, beliau mencadangkan supaya Syabas dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mencari alternatif lebih baik, mungkin pembekalan ke kawasan tertentu secara berjadual.

"..dalam erti kata lain, mungkin kawasan berkenaan seperti Bandar Baru Bangi, beri mereka jadual, hari ini ada (bekalan) mungkin esok (Rabu) tidak ada, atau dua hari tak ada, lusa ada, ini sekurang-kurangnya ada air yang datang dari paip rumah masing-masing, tak perlu tunggu lori tangki.

"Saya ingatkan Syabas untuk meneliti perkara ini dengan SPAN dan lihat bagaimana ia boleh dilaksanakan secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) di Loji Pembekalan Air Sungai Semenyih di sini.

Pada Isnin, Syabas dalam satu kenyataan berkata gangguan bekalan air dijangka membabitkan kawasan Petaling yang melibatkan 118,000 akaun, Hulu Langat (125,000), Sepang (65,000), Klang (19,000) dan Kuala Langat (22,000).

Ditanya mengenai kaitan keadaan semasa dengan isu berkaitan projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2), Chin berkata pada pandangannya ketika ini pembekalan air di kawasan tertentu beroperasi dengan margin simpanan yang terlalu kecil.

"Satu peratus. Kalau kita beroperasi dengan margin simpanan sebegini kecil, bila berlaku kesilapan kecil sana dan sini atau berlaku kerosakan jentera, kita akan menghadapi masalah kerana tidak ada margin yang cukup. Dari satu segi projek Langat 2 projek akan memberi kita margin simpanan yang selesa bila disiapkan," katanya.

Isu bekalan air Lembah Klang yang banyak diperkatakan sejak 2008, menjadi genting apabila kerajaan negeri Selangor enggan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek Langat 2 yang menelan belanja RM8.65 bilion.

Projek yang merujuk kepada sebahagian daripada projek penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya itu mendapat persetujuan kerajaan negeri Selangor semasa ditadbir Barisan Nasional (BN), namun ia kini terbantut apabila Selangor dipimpin pakatan pembangkang.

Sementara itu, Chin berkata semua pihak terlibat perlu bekerjasama dan tidak menuding jari dalam usaha meringankan beban rakyat kerana air merupakan sumber yang amat penting bagi semua.

"Kita kena ada kerjasama lebih erat antara semua pihak berkepentingan, terutama yang mengendalikan atau jadi operator jentera ini. Kerajaan sama ada persekutuan atau negeri kena bekerjasama, tak boleh bertentangan antara satu sama lain dalam keadaan sekarang, kita kena selaras kemajuan kerja kita.

"Sama ada projek mitigasi atau apa jua, apabila berlaku gangguan seperti di Wangsa Maju dan Semenyih ini kita mesti selaraskan bagi membantu menyelesaikan masalah, kita kena pakai cara terbaik, terlicin untuk baik pulih apa yang sudah rosak, daripada menuduh satu sama lain," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain