suria

Bangunan Komersial Wajib Sedia Parkir Wanita

KUALA LUMPUR: Bangunan komersial terutamanya pusat membeli belah di ibu negara diwajib menyediakan unit parkir khusus untuk wanita yang memandu bersendirian.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata pihak pengurusan yang ingkar mematuhi peraturan itu tidak akan diperbaharui lesen mereka.

"Sekurang-kurangnya tujuh peratus kawasan parkir perlu disediakan dan ia mesti dilengkapi dengan ciri keselamatan seperti butang panik, lampu yang lebih cerah, akses sekuriti dan berdekatan pintu masuk.

"Peraturan ini adalah untuk bangunan-bangunan baharu dan juga sedia ada di Kuala Lumpur," katanya.

Raja Nong Chik berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pengumuman garis panduan kadar caj tempat letak kereta persendirian bagi Kuala Lumpur serta perasmian tempat letak kereta wanita dan sistem panduan tempat letak kereta KLCC di sini, Selasa.

Beliau berkata langkah itu diambil sebagai usaha untuk mengurangkan statistik jenayah di kawasan-kawasan parkir melibatkan wanita dan pada masa sama memberi menjamin bahawa kawasan-kawasan tersebut adalah selamat.

Katanya, pihaknya akan mengkaji samada perlaksanaan itu akan dipanjangkan kepada kawasan letak kereta terbuka atau kawasan lapang.

"KLCC misalnya menyediakan sebanyak 142 tempat letak kereta untuk wanita dan kita harap langkah pihak KLCC ini dicontohi oleh pemilik- pemilik premis komersil yang lain.

"Malah bagi meningkatkan lagi tahap keselamatannya, pihak pengurusan KLCC turut telah melengkapkan kawasan tempat letak kereta ini dengan beberapa ciri keselamatan berteknologi tinggi seperti 'Help Point' dan CCTV," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif KLCC Property Holdings Berhad Hashim Wahir berkata kawasan parkir wanita itu ditempatkan di aras P1 berdekatan dengan pintu masuk melalui eskalator dan lif ke Suria KLCC.

Katanya, kawasan parkir tersebut boleh dikenalpasti dengan warna merah jambu di bahagian lantai dan logo di setiap tiang di kawasan tersebut.

"Ia khusus kepada pemandu wanita tanpa penumpang sahaja dan pengawal keselamatan juga ditempatkan di kawasan parkir berkenaan bagi meningkatkan lagi keselamatan dan memastikan tiada penyalahgunaan berlaku," katanya.

Katanya, kawasan parkir KLCC juga telah dilengkapkan dengan Sistem Panduan Tempat Letak Kereta yang memaparkan maklumat seperti jumlah parkir yang masih kosong.

"Lampu penunjuk yang dipasang di parkir menandakan isyarat bahawa parkir tersebut telah dipenuhi sekiranya ia berwarna merah dan hijau sekiranya kosong," katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Phesal Talib yang turut hadir dalam majlis itu, ketika diminta mengulas mengenai kejadian tanah runtuh di kawasan hutan simpan Bukit Nanas pada Isnin, berkata siasatan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan. - BERNAMA

Artikel Lain