suria

SPRM Pantau 10 Syarikat Korporat Terawal Tandatangan Ikrar Integriti

KUANTAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memantau 10 syarikat korporat yang menandatangani ikrar integriti bersama suruhanjaya itu tahun lepas bagi memastikan mereka mematuhinya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Sutinah Sutan berkata syarikat itu merupakan kumpulan terawal daripada 162 organisasi korporat yang menandatangani ikrar tersebut.

"Satu pasukan pemantau telah ditubuhkan bagi pemantauan berkenaan dalam usaha SPRM memastikan mereka melaksanakan dan mendukung prinsip untuk mencegah amalan rasuah dalam organisasi mereka. "Pasukan yang terdiri daripada beberapa wakil yang diketuai oleh SPRM, Jabatan Audit Negara, Transparency International dan wakil agensi kawal selia akan memulakan pemantauan mulai bulan ini," katanya kepada pemberita selepas pelancaran ikrar integriti oleh petugas Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) pada Isnin.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob, Ketua Pegawai Eksekutif PKNP Datuk Lias Mohd Noor dan Pengarah SPRM Pahang Moh Shamsudin Yusof.

Sutinah berkata pada tahun ini, SPRM juga akan mempertingkat kerjasama dengan syarikat korporat atau agensi kerajaan bagi memantapkan sistem kawalan antirasuah.

"Dalam konteks ini, kita akan bekerjasama dengan organisasi yang terlibat untuk mengkaji sama ada perlu lakukan pindaan terhadap sistem atau prosedur (dalam syarikat) bagi memastikan tidak ada ruang rasuah yang boleh diambil kesempatan terhadap syarikat tersebut," katanya.

Beliau berkata SPRM juga mewujudkan sekretariat pencegahan rasuah di Institut Pendidikan Guru di seluruh negara bagi memberi pendedahan berhubung perkara itu.

"Guru akan bertindak sebagai komunikator utama untuk mendidik pelajar ini tentang rasuah sebab pelajar rapat dengan guru dan mereka biasanya akan dengar dan percaya apa guru mereka nasihatkan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain