suria

Polis Kesan Dua Tahanan Lolos Di Kampung Pelet, Penanti

KEPALA BATAS: Polis Pulau Pinang mengesan dua lagi baki tahanan yang lolos dalam kejadian Isnin lepas, Hamzani Harun, 37, dan Hisham Abdul Rahman, 39, di Kampung Pelet, Penanti dekat sini.

Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata polis mendapat maklumat daripada penduduk setempat memaklumkan melihat dua tahanan terbabit membeli makanan di kawasan Kampung Pelet pada 5.30 petang. "Sepasukan anggota polis bergegas ke tempat yang dimaklumkan dan ketika kita sampai mereka telah melarikan diri ke kawasan hutan di sekitar situ.

"Saya mengarahkan 28 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) membuat penggeledahan dan pemeriksaan dalam hutan bagi mengesan dua tahanan terbabit," katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan petugas polis yang terlibat dalam Operasi Kesan Gelugor, di sini Isnin.

Katanya polis juga mengubah kawasan operasi dan menumpukan kawasan Penanti dan Kubang Semang kerana percaya dua tahanan terbabit masih bersembunyi di situ.

"Kita turut memindah Markas Operasi Kesan Gelugor daripada Balai Polis Tasek Gelugor ke balai (polis) Kubang Semang bagi melancarkan operasi memburu dua tahanan terbabit dan saya percaya kita dapat menahan mereka dalam tempoh terdekat," katanya.

Abdul Rahim berkata dua tahanan itu bergerak bersama dan sedang mengesan rakan-rakan mereka yang memberikan makanan dan wang.

Katanya polis juga mendapat maklumat dua penjenayah terbabit pernah pulang ke rumah keluarga masing-masing, tetapi keluarga mereka tidak mahu memaklumkan perkara itu kepada polis.

Beliau berkata polis juga akan mengadakan pertemuan dengan penjara bagi mencari kaedah terbaik membuat pemeriksaan secara terperinci terhadap tahanan yang akan dibawa ke mahkamah.

"Hasil siasatan terhadap tiga tahanan terbabit, mereka mendapat serbuk perencah kari mee segera dari penjara yang ditaburkan ke mata polis dalam kejadian Isnin lepas," katanya. Pada Sabtu, polis memberkas semula Mohd Farid Akhtar, 24, di sebuah kedai makan di Kampung Petani, Kubang Semang manakala Mohd Shahrimi Mohd Noor, 28, menyerah diri kepada polis ketika ditemui di Pasar Awam Penanti dan Mohd Khairulnizam Abdul Rani, 26, pula ditahan dalam sebuah kafe Internet di Berapit, Bukit Mertajam pada pagi Ahad. Dalam kejadian 9 pagi Isnin lepas, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring.

Dua daripada mereka berjaya diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor manakala dua lagi iaitu Mohd Fairuz Adam, 31, dan Mohd Noor Mustafa, 28, ditembak mati setelah cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu di Bukit Mertajam dekat sini pada Khamis. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain