suria

Polis Ada Maklumat Pergerakan Dua Tahanan Yang Masih Bebas

TASEK GELUGOR: Polis Pulau Pinang yakin dapat menahan dua lagi tahanan yang masih bebas dalam tempoh terdekat berikutan maklumat menunjukkan mereka dipercayai bersembunyi di sekitar Permatang Pauh.

Ketua Polis negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata dua tahanan itu, Hamzani Harun, 37, dan Hisham Abdul Rahman, 39, masih berada di sekitar kawasan operasi kerana tidak boleh keluar daripada kepungan polis.

Selain itu mereka juga dalam keadaan lemah dan tidak mempunyai kenderaan, katanya.

"Ops Kesan Gelugor masuk hari ketujuh hari ini dan saya yakin kita akan dapat menahan dua tahanan itu dalam tempoh terdekat kerana polis memperoleh maklumat tentang pergerakan mereka.

"Beberapa penduduk kampung juga melihat kelibat mereka di Padang Cempedak malam tadi, bagaimanapun bila polis pergi ke tempat yang dimaksudkan dua tahanan terbabit telah melarikan diri," katanya pada sidang akhbar di sini, Ahad.

Beliau turut meminta kerjasama anggota keluarga dua tahanan itu agar menghubungi pihak polis jika mereka dihubungi atau didatangi dua lelaki terbabit.

"Dua tahanan ini berasal dari Pokok Tambang iaitu dalam kawasan operasi kita dan saya minta kerjasama anggota keluarga mereka agar memaklumkan segera kepada polis jika dihubungi. Saya tahu mereka memang berhubung dengan keluarga," katanya.

Katanya operasi memburu dua tahanan itu turut disertai Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) serta rondaan lebih kerap di sekitar ladang dan hutan dalam kawasan berkenaan.

"Sehingga hari ini operasi itu telah mencapai kejayaan 80 peratus dan saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada masyarakat setempat dan orang ramai yang menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya tiga tahanan semalam," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Polis Pulau Pinang akan memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) membawa tahanan dilaksanakan mengikut peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kejadian tahanan lolos tidak berulang. "SOP telah sedia ada dan anggota yang membawa sembilan tahanan pada hari kejadian tidak mengikutnya dan berlaku kecuaian kerana tidak membuat pemeriksaan secara terperinci terhadap tahanan.

"Selain itu mereka (anggota polis terbabit) juga tidak menggunakan kenderaan yang sepatutnya dan selepas ini kita akan pastikan SOP itu dilakukan dengan lebih ketat dan dilaksanakan mengikut peraturan," katanya.

Semalam, polis menahan Mohamad Farid Akhtar, 24, ketika meminta makanan di sebuah kedai makan di Kampung Petani, Kubang Semang pada 9 malam, manakala Mohd Shahrimi Mohd Noor, 28, menyerah diri di Pasar Awam Penanti pada 10 malam, sementara Mohamad Khairulnizam Abdul Rani, 26, ditahan dalam sebuah kafe Internet di Berapit, Bukit Mertajam di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian 9 pagi Isnin, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring.

Dua daripada mereka berjaya diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor manakala dua lagi ditembak mati setelah cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu di Bukit Mertajam dekat sini pada Khamis.

Dua tahanan yang ditembak mati ialah Mohd Fairuz Adam, 31, yang dikenali sebagai Joe Mafia dan Mohd Noor Mustafa, 28, juga daripada geng Joe Mafia. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain