suria

Penjual Kad Telefon Bimbit Didakwa Bunuh Warga Emas

GEORGE TOWN: Seorang penjual kad telefon bimbit dihadap ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas tuduhan membunuh seorang warga emas di kuil Hindu pada Disember lepas.

N. Saravanan, 27, didakwa membunuh P. Muthu, 80, di bangunan No. 138 Kuil Nattukotai Chettiar, Lebuh Penang di sini antara pukul 9 malam hingga 11 malam, 18 Dis tahun lepas.

Saravanan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dia yang diwakili peguam Husaini Abdul Rashid mengangguk tanda faham apabila pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Norhayati Ibrahim.

Norhayati menetapkan 5 Mac untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Khairul Fairuz Rahman. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain