suria

Operasi Subsidi Lima Agensi Rampas Barangan Subsidi & Kenderaan Bernilai RM70,000

TAWAU: Satu operasi dinamakan 'Operasi Subsidi' selama lapan hari melibatkan lima agensi penguatkuasaan di sini merampas pelbagai barangan kawalan dan bersubsidi serta menyita lima kenderaan bernilai RM70,000.

Pengarah Kastam Sabah Datuk Dr Janathan Kandok berkata 13 individu turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan dalam operasi yang bermula 1 Januari lepas.

"Kesemua yang ditahan terdiri daripada warga tempatan dan asing dan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Operasi Subsidi Siri 1/2013 di sini, Isnin.

Operasi itu melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Majlis Perbandaran Tawau dan Jabatan Kastam.

Katanya Operasi Subsidi dilaksanakan bermula tahun lalu berikutan penubuhan Jawatankuasa Pemantau Barangan Kawalan/Bersubsidi pada Julai tahun lalu bagi membanteras masalah penyeludupan keluar barangan kawalan dan bersubsidi ke negara jiran.

Janathan berkata antara barangan kawalan dan bersubsidi paling banyak dirampas dalam operasi itu ialah 7,805 kilogram (kg) gula pasir bernilai RM14,049, 140 kg minyak masak (RM224), 155.92 kg daging beku (RM935.52) dan tujuh tong gas LPG (RM350).

Sementara itu, beliau juga bersetuju supaya Jabatan Imigresen dan Jabatan Pengangkutan Jalan turut dimasukkan dalam Jawatankuasa Pemantau Barangan Kawalan/Bersubsidi bagi membolehkan penguatkuasaan undang-undang barangan kawalan dan bersubsidi lebih cekap.

Katanya berdasarkan pengalaman ada sesetengah kes seperti pemilik kenderaan mengubah suai tangki minyak kenderaan mereka yang disyaki untuk penyalahgunaan minyak bersubsidi, tidak dapat diambil tindakan kerana bidang kuasa mengenainya terdapat pada agensi lain.

Janathan juga mencadangkan supaya Jabatan Kastam dan agensi penguatkuasaan lain diberi kuasa khusus di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk membolehkan dan memudahkan agensi berkenaan membantu KPDNKK menguatkuasakan akta itu.

Mengenai Jeti Pendaratan Batu-Batu, Janathan bersetuju dengan cadangan supaya kerajaan membenarkan pendaratan barangan dan penumpang di jeti secara sah supaya kawalan aktiviti keluar masuk barangan di situ dapat dipantau secara berkesan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain