suria

Keputusan Projek Langat 2 Ditangan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air - Adnan

KUANTAN: Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata hanya Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui yang boleh memutuskan mengenai perjanjian projek bekalan air mentah dari negeri ini ke Selangor.

Beliau berkata mengikut perjanjian itu, sebarang keputusan termasuk pembatalan projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) hanya boleh diputuskan menteri berkenaan.

"Kerajaan negeri secara dasarnya tidak boleh membuat sebarang keputusan mengenai perjanjian itu kerana semuanya terserah kepada menteri.

"Bagaimanapun, harga yang ditawarkan Pahang iaitu 10 sen bagi setiap satu meter persegi itu mungkin dinaikkan jika kerajaan Selangor masih berdolak-dalik kerana dalam perjanjian harga yang ditawar boleh dinaikkan lima tahun sekali," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Ikrar Integriti Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, Isnin.

Adnan diminta mengulas mengenai krisis air yang kini melanda beberapa kawasan di Selagor termasuk kenyataannya sebelum ini iaitu mahu membatalkan bekalan air mentah ke Selangor jika kerajaan negeri itu tidak membenarkan pembinaan projek itu diteruskan.

Beliau berkata rakyat negeri itu sepatutnya bijak memilih kepimpinan sekarang atau pimpinan Barisan Nasional bagi memastikan kebajikan mereka terutama isu air dapat diselesaikan.

Adnan berkata jika kerajaan Selangor tidak berdolak-dalik pastinya projek berkenaan siap dan tidak timbul masalah air seperti sekarang.

"Terpulang kepada rakyat Selangor sama ada mahu projek itu diteruskan atau tidak kerana mereka yang memilih kepimpinan yang ada sekarang.

"Persetujuan Pahang untuk membekalkan air kepada negeri itu bukan berdasarkan keuntungan semata-mata tetapi mahu mereka mendapat bekalan air secukupnya," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain