suria

KDEB Beri Penjelasan Isu Saham Kerajaan Selangor Dalam Syabas

KUALA LUMPUR: Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), cabang pelaburan kerajaan negeri Selangor, berkata kerajaan negeri Selangor memiliki saham minoriti yang terhad kepada wakil lembaga dalam Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Presidennya, Suhaimi Kamaralzaman berkata kerajaan negeri memiliki 30 peratus ekuiti dan dua pengarah dalam Syabas.

Beliau berkata Syabas masih lagi memain peranan utama dalam mengendali operasi dan penyelenggaraan kemudahan air.

"Operasi harian dan penyelengaraan kemudahan air dijalankan oleh pihak pengurusan Syabas yang dilantik oleh pemegang saham majoriti, Puncak Niaga Holdings Berhad," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama pada Isnin.

Suhaimi merujuk komen seorang ahli akademik dan pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, pada Sabtu lepas.

Ahmad Zaharudin Sani antara lain berkata di bawah perjanjian konsesi air Selangor, kerajaan negeri adalah bertanggungjawab mengenai kerja pembersihan sungai dan tadahan air, memberi kelulusan pembinaan baharu stesen pam dan menaik taraf loji serta stesen pam.

Pada Sabtu juga, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan negeri Selangor hanya menyalahkan Syabas dan kerajaan Barisan Nasional (BN) berhubung krisis air di negeri itu sedangkan ia tidak memberikan arahan pembangunan bagi menyelesaikan masalah air sehingga usaha kerajaan BN untuk membuka stesen pam tambahan tidak diluluskan mereka.

Justeru, katanya, apa yang harus dilakukan kerajaan pakatan pembangkang itu adalah mencari jalan penyelesaian terbaik bersama-sama kerajaan pusat terhadap masalah yang semakin meruncing dan pastinya akan memberi impak pada masa akan datang.

Suhaimi berkata Jawatankuasa Pemantauan Air Negeri (SWMC) dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor telah memantau Syabas, terutama sekali berhubung tindakan dan rancangan pemulihan yang dilakukan Syabas.

"Wakil-wakil KDEB yang juga anggota dalam SWMC bertanggungjawab untuk sentiasa berhubung dengan pengurusan Syabas bagi memastikan semua rancangan tindakan dilaksanakan dengan cepat dan cekap," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain