suria

Isu Kalimah Allah: Hadi Perlu Tarik Balik & Batalkan Persetujuan Dengan DAP dan PKR

KUALA LUMPUR: Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang wajib menarik balik dan membatalkan persetujuan dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah, kata Anggota Parlimen Bebas Kulim-Bandar Baru Datuk Zulkifli Noordin. Beliau mengalu-alukan keputusan Majlis Syura Pas semalam yang memutuskan kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh umat Islam sekaligus menentang kehendak Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Abdul Hadi. "Datuk Seri Hadi dan kepimpinan eksekutif Pas wajib menarik balik dan membatalkan persetujuan dengan DAP dan PKR untuk membenarkan orang Kristian menggunakan kalimah Allah.

Saya mengalu-alukan keputusan Majlis Syura Pas yang memutuskan kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh umat Islam. Bercanggah dengan kehendak Lim Guan Eng, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Abdul Hadi Awang," katanya menerusi akaun twitter beliau, zulkiflinoordin pada Isnin.

Sebelum ini, Abdul Hadi menyokong penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam. Pemuda Pas pula beranggapan tidak ada keperluan untuk mengulas isu tersebut atas alasan Presiden sudah mengeluarkan kenyataan rasmi yang dianggap pendirian parti. Biarpun Abdul Hadi menyokong penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib pula menegaskan kalimah Allah hanya khusus untuk agama Islam dan agama-agama lain tidak berhak menggunakan kalimah suci itu.

Bagaimanapun, dalam mesyuarat semalam, Pas mengubah pendirian apabila Majlis Syura parti berkenaan yang dianggotai 15 anggota memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam Bible versi Bahasa Melayu selepas isu berkenaan dibantah pelbagai pihak.

Mesyuarat yang dipengerusikan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu menyatakan, menterjemah perkataan 'God' atau 'Lord' dari mana-mana kitab agama bukan Islam adalah salah dari segi makna, tidak menepati kehendak sebenar dan perlu dicegah kerana membawa kekeliruan yang nyata.

Isu penggunaan kalimah Allah timbulselepas Guan Eng dalam ucapannya sempena sambutan Krismas lalu mendesak kerajaan membenarkan kalimah Allah digunakan dalam Bible berbahasa Melayu.

Tindakan Guan Eng menimbulkan bantahan dan kecaman pelbagai pihak. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain