suria

Felda Selesai Bayar Bonus RM102.12 Juta

KUALA LUMPUR: Felda menjelaskan bayaran Bonus Insentif Produktiviti Peneroka (BIPP) bagi tahun 2012 berjumlah RM102.12 juta kepada peneroka tanah rancangan yang layak di seluruh negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata pembayaran itu selesai dilaksanakan pada minggu ketiga 2012 melibatkan 94,839 peneroka daripada jumlah keseluruhan 112,635 peneroka sebagai tanda menghargai sokongan mereka terhadap kemajuan industri sawit dan getah negara.

"Asas kepada pembayaran dibuat berdasarkan dua perkara, iaitu kesetiaan peneroka bersama Felda dalam pelaksanaan tanam semula dan produktiviti hasil kebun peneroka yang dihantar ke kilang milik Felda," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Tambah beliau, peneroka yang melaksanakan program tanam semula bersama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan itu menerima bayaran maksimum RM1,200 untuk setiap seorang manakala peneroka yang mengerjakan kebun sendiri akan dinilai berdasarkan produktiviti hasil kebun yang dijual pada Felda.

"Jika mereka jual pada orang lain, bagaimana mereka mahu terima bonus kerana ini semua wang yang dikumpulkam oleh Felda. Mudah-mudahan satu hari nanti semua 112,635 peneroka akan menerima bonus ini," katanya.

Bagi peneroka sawit, kelayakan minimum pembayaran bonus ialah sebanyak RM400 untuk penghantaran hasil sebanyak 9.01 hingga 12 tan/hektar manakala ganjaran maksimum RM1,200 diberikan kepada mereka yang menghantar hasil melebihi 20 tan/hektar.

Bagi peneroka getah pula bayaran minimum RM400 diberikan kepada mereka yang menghantar hasil 550.01 hingga 750 kilogram/hektar manakala peneroka yang menghantar 1300 kilogram/hektar ke atas layak menerima bonus maksimum RM1,200.

Ahmad Maslan juga memberitahu bahaw bayaran BIPP untuk 2012 menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya di mana pada 2011 pembayaran BIPP melibatkan jumlah RM101.87 juta kepada 94,317 peneroka.

"Ini menunjukkan berlaku peningkatan dalam penghantaran hasil oleh peneroka kepada Felda, sekaligus menafikan dakwaan sesetengah pihak yang sebelum ini prejudis dengan penyenaraian Felda (di bursa)," katanya.

Ahmad Maslan juga memberi jaminan bahawa pembayaran bonus yang masuk kali kesembilan sejak dimulakan pada 2004 akan diteruskan pada masa hadapan memandangkan ia sebagai satu cara untuk menarik peneroka untuk terus menjual hasil kepada Felda.

Terdahulu, Ahmad Maslan membentangkan kertas kerja bertajuk 'Program Transformasi Kerajaan (GTP): Aspirasi Negara Harapan Rakyat' pada seminar Transformasi Felda 2012 yang disertai 636 warga pengurusan kanan Felda. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain