suria

Dua Lelaki Ditahan Bersama 1,000 Pil Khayal

BESUT: Dua lelaki dari Kota Baharu, Kelantan ditahan bersama 1,000 biji pil khayal dipercayai dadah di Hulu Besut Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata kedua-dua suspek berumur 25 dan 19 tahun itu ditahan di sebatang jalan di Kampung Belaoh, Hulu Besut pada 10 malam, hasil maklumat orang awam.

Katanya pemuda berusia 25 tahun itu bekerja sebagai pembantu kedai makan manakala rakannya yang berumur 19 tahun pekerja kedai roti, ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Besut (BSJNB).

"Apabila dihampiri salah seorang daripada suspek didapati telah membuang bungkusan yang dipegangnya dalam sebuah bekas sebelum dirampas pasukan BSJNB," kata Kamaruddin.

Siasatan lanjut polis menemui 990 biji pil warna kemerahan dan 10 biji lagi berwarna kehijauan dipercayai dadah dalam bungkusan yang dibalut kertas surat khabar itu dan merampas wang tunai RM1,086 daripada suspek.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 32 ADB (Pelucutan Hak Harta) 1988. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain