suria

KL112: Suhakam Puji Polis, Penganjur

PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) memuji penganjuran Himpunan Kebangkitan Rakyat (KL112) pada Sabtu ekoran tiada insiden tidak diingini mahupun tangkapan dibuat pada program anjuran parti pembangkang itu.

Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam berkata, kejayaan KL112 membuktikan semua pihak boleh bekerjasama bagi memastikan hak demokratik untuk berhimpun boleh dilaksanakan di negara ini.

"Suhakam memuji sikap profesional yang ditunjukkan pihak polis, penganjur dan peserta dalam mengendalikan perhimpunan ini yang mana mencerminkan imej yang baik terhadap negara.

"Suruhanjaya turut memuji pemimpin atasan polis atas kecerdasan dan kebijaksanaan mereka dalam menangani keadaan berkenaan perhimpunan," katanya pada Ahad.

Beliau mengulas mengenai perhimpunan yang dihadiri ribuan penyokong di Stadium Merdeka pada Sabtu dan berakhir dalam suasana aman tanpa sebarang insiden buruk seperti yang berlaku sewaktu penganjuran Bersih 2.0 dan Bersih 3.0.

Mengulas lanjut Hasmy berkata, persefahaman antara semua pihak serta keterbukaan kerajaan terutamanya mengenai sekatan sedia ada perlu dalam memastikan penganjuran perhimpunan seperti itu dapat dilaksanakan dengan lebih baik pada masa akan datang.

"Suruhanjaya berharap bahawa usaha positif ini akan terus meningkatkan persefahaman di antara semua pihak yang terlibat terhadap peranan masing-masing dalam memastikan pengendalian perhimpunan yang aman seterusnya memberi kelonggaran kepada sekatan yang sedia ada." katanya.

Pada perhimpunan tersebut Suhakam menempatkan anggotanya di beberapa lokasi utama di Kuala Lumpur bagi melakukan pemantauan jika terdapat pelanggaran hak asasi manusia sepanjang penganjurannya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain