suria

KL112: Peserta Suara Tuntutan, Pemimpin Guna Peluang Tabur Janji

KUALA LUMPUR: Himpunan Kebangkitan Rakyat (KL112) pada Sabtu bukan sahaja menjadi medan untuk pemimpin pembangkang membuat janji tetapi turut menyaksikan rakyat yang mahu suara mereka didengari.

Perkara ini jelas dapat dilihat melalui kehadiran kira-kira 50,000 peserta yang memenuhi Stadium Merdeka antara pukul 2 hingga 5 petang, tempoh masa tiga jam untuk berhimpun seperti yang diminta penganjur daripada pihak berkuasa.

Tiga jam dalam suasana sesak dengan matahari yang kadang-kadang timbul dan kadang-kadang bersembunyi nampaknya menjadi begitu bernilai kepada seisi stadium kerana dalam ruang waktu terhad itulah pemimpin dan peserta perlu berkongsi masa dan pentas untuk menyampaikan mesej masing-masing.

Di stadium ini, yang pernah menyaksikan laungan 'kemerdekaan' 55 tahun lalu, wakil-wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seluruh Malaysia tampil memberi ucapan dan menyatakan tuntutan serta hak mereka sebagai rakyat.

Wakil Solidariti Mahasiswa memperjuangkan hak mahasiswa dengan menuntut penghapusan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sementara NGO Tanah Johor menyuarakan tentang kebimbangan tanah-tanah rakyat yang dijual dengan harga murah, didakwa kepada kroni.

Golongan Orang Asli tidak terkecuali. Tijah, mewakili Orang Asal Semenanjung diberi kesempatan 'bersuara' di pentas sambil mengutarakan tentang hak-hak Orang Asli yang selama ini didakwa dinafikan.

"180,000 Orang Asli selama 55 tahun masih jauh ketinggalan. Kaum ini dinafikan sebagai orang asal dan berbilion-bilion diberikan atas nama Orang Asli tetapi kampung kami terpinggir.

"Adakah ini dinamakan satu keadilan? Jangan nafikan hak Orang Asli," demikian antara petikan ucapan Tijah sambil disambut tepukan daripada warga stadium.

Tidak dilupakan golongan pekerja, yang mana wakilnya menuntut hak, kebajikan dan masa depan pekerja negara ini dijaga.

Wakil golongan yang 'menggoncang buaian', Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Siti Zailah Mohd Yusoff pula berdiri di pentas menuntut perubahan enam perkara untuk golongan wanita.

Berkongsi pentas dengan mereka, wakil Orang Kelainan Upaya (OKU), wakil bekas tentera, wakil Bersih, wakil Felda dan NGO 'R' (Royalti).

Janji Pemimpin Giliran pimpinan tertinggi menjejaki pentas tiba selepas satu setengah jam perhimpunan bermula.

Pengerusi Himpunan Kebangkitan Rakyat Mohamad Sabu mendahului pemimpin lain dengan menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang menjadikan perhimpunan berlangsung aman.

"Terima kasih saya ucapkan kepada parti PR, semua NGO-NGO yang menjayakan KL112.

"Terima kasih juga kepada pengurusan stadium kerana mengizinkan kita berhimpun hari ini, dari perundingan dan pertemuan, mereka PDRM bekerjasama menjayakan majlis ini serta terima kasih kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

"Lebih utama kita tidak akan berjaya adakan perhimpunan ini jika tidak ada tuan-tuan dan puan-puan semua ," katanya.

Menyusul selepas itu ialah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang banyak membicarakan tentang mengenai demokrasi, keadilan, kebajikan dan integriti.

Namun, inti pati yang pasti paling diingati oleh semua peserta tentunya janji beliau untuk memberikan 'wi-fi' percuma jika PR ke Putrajaya kerana janjinya itu disambut dengan tepukan gemuruh peserta.

Namun, tidak keterlaluan dikatakan ucapan Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah yang paling dinanti-nanti peserta.

Anwar, dalam ucapannya menyifatkan perhimpunan ini sebagai perhimpunan rakyat yang mahukan sebuah 'kerajaan rakyat', bukan kerajaan biasa.

"Rakyat bangkit kerana mahu ubah sistem pemerintahan. Kita berjanji tidak akan izinkan rompakan duit rakyat dan rasuah...kita tidak akan bertolak ansur dengan rasuah jika kita memerintah," beliau memberi janji.

Apa yang pasti, perhimpunan kali ini berbeza dengan perhimpunan terdahulu yang pernah dianjurkan pembangkang.

Perhimpunan berlangsung aman, seperti yang dijanji walaupun trafik sedikit terganggu dek peserta yang berarak di sepanjang jalan raya menuju ke stadium.

Tiada kedengaran tentang provokasi, pergaduhan atau pertelingkahan. Jauh sekali untuk melihat adegan harta awam dirosakkan atau adegan kereta diterbalikkan.

Malah, pujian harus diberikan kepada pihak polis dan anggota keselamatan yang mengawal baik keadaan sehingga membantu perhimpunan berlangsung aman.

Artikel Sebelum

Artikel Lain