suria

Kecekapan Polis Kawal KL112 Wajar Dipuji

KUALA LUMPUR: Kecekapan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal perhimpunan anjuran pembangkang semalam daripada dicemari insiden tidak diingini, wajar diberikan pujian.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata usaha yang dibuat PDRM membuktikan mereka berkemampuan dan dapat melaksanakan tugas dengan baik serta mempunyai ketabahan dan kesabaran yang tinggi.

Justeru, beliau berharap orang ramai yang mempunyai tanggapan negatif sebelum ini dapat menghargai apa yang disumbangkan pasukan itu dan tiada kritikan dilemparkan kepada mereka.

"Pujian harus diberikan terutama kepada PDRM di bawah pimpinan Ketua Polis Kuala Lumpur yang dapat membuat peraturan dengan begitu lengkap agar semua yang terlibat dalam perhimpunan itu dapat mengawal keadaan dan tidak ada insiden tidak diingini berlaku.

"Banyak publisiti yang keluar adalah negatif terhadap pihak polis. Saya harap apa yang dilakukan semalam akan menjadi satu suntikan semangat kepada pihak polis," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Ahad.

Dalam pada itu, Lee berkata Akta Perhimpunan Aman 2012 membuktikan ia boleh dilaksanakan dengan baik dan teratur sekiranya semua pihak termasuk penganjur dan penguatkusa dapat bekerjasama bagi memastikan perhimpunan itu berjalan secara aman dan lancar.

Beliau berkata apa yang berlaku ketika perhimpunan semalam boleh dijadikan contoh yang baik di mana sekiranya diadakan apa-apa perhimpunan pada masa depan, harus dibuat dengan mengikut peraturan yang ditetapkan di bawah Akta itu.

"Sekiranya semua pihak dapat menjalankan tugas mengikut semangat Akta itu, memanglah tujuan perhimpunan dapat dicapai malah keselamatan orang awam dapat terbela," katanya.

Sementara itu, mengenai pelanggaran syarat membawa kanak-kanak dalam perhimpunan semalam, Lee berharap pihak polis dapat menyiasat perkara itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain