suria

PRU13: PAS Mahu Bersama DAP, PKR

KUALA LUMPUR: Menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang, PAS mengulangi pendirian dan ikrar mereka untuk kekal bekerjasama dengan sekutunya daripada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu tidak mempunyai masalah dengan DAP dan PKR sepanjang pakatan pembangkang itu menjalinkan kerjasama secara rasmi selepas pilihan raya umum 2008.

"Walaupun kita dapat jumlah kerusi paling kecil seperti di Perak dulu. Tapi kita tak gaduh, kita boleh berbincang dengan semangat pakatan.

"Kita selesaikan secara bersama," katanya ketika berucap pada Himpunan Kebangkitan Rakyat (KL112) di Stadium Merdeka di sini, Sabtu.

Selain itu Abdul Hadi mendakwa keputusan PAS untuk bersama pakatan pembangkang menghadapi PRU-13 disebabkan DAP dan PKR merupakan parti yang pernah dianiaya.

"PAS mengambil pendirian bekerjasama dengan DAP dan PKR kerana kedua-dua parti ini adalah mereka yang teraniaya.

"PAS akan bekerjasama dengan parti-parti lain, tapi tidak sesekali dengan Umno dan BN," katanya.

Menerusi ucapannya, Abdul Hadi turut menggesa peserta yang hadir agar bekerja keras bagi memastikan pakatan pembangkang berjaya mentadbir Kerajaan Persekutuan selapa PRU-13 akan datang.

Katanya peristiwa bersejarah yang berlaku di Stadium Merdeka satu ketika dahulu perlu diulang sekali lagi apabila pembangkang berhasrat untuk mengisytiharkan kemerdekaan kedua negara selepas menang dalam pilihan raya.

"BN bukan hantu, tapi rakyat macam kita, rakyat kena berani. Mari kita isytiharkan kemerdekaan yang kedua. Bila pulang buat kerja. InsyaAllah kita dapat Ubah Sekarang," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain