suria

Perhimpunan Langgar Tiga Syarat -Polis

KUALA LUMPUR: Polis mendapati penganjur perhimpunan di Stadium Merdeka di sini hari ini, melanggar tiga daripada 27 syarat yang dipersetujui antara mereka dan polis sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata tiga syarat itu ialah larangan membawa kanak-kanak berusia bawah 15 tahun; membawa plakad, sepanduk dan kain rentang berunsur hasutan serta peserta perhimpunan yang melebihi 30,000 orang.

Polis akan menjalankan siasatan lanjut terhadap pelanggaran itu kerana syarat terbabit antara 27 yang dipersetujui mengikut Seksyen 15 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012, katanya kepada pemberita selepas perhimpunan itu, di sini.

Beliau juga berkata polis tidak membuat sebarang tangkapan serta tiada insiden tidak diingini berlaku sepanjang perhimpunan tersebut.

"Cuma terdapat insiden tolak menolak di pintu utama Stadium Merdeka dan dua warga emas pengsan kerana kesesakan dalam stadium dan dibawa ke hospital," katanya.

Zainuddin berkata kira-kira 200 anggota polis yang ditugaskan hari ini telah melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna seperti yang diamanatkan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Beberapa pemimpin pembangkang hari ini memuji khidmat dan kerjasama pihak polis sepanjang perhimpunan itu.

Menurut Zainuddin polis menganggar kira-kira 45,000 peserta hadir pada perhimpunan itu.

Mengulas mengenai dakwaan penemuan bahan letupan di kawasan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), beliau berkata pemeriksaan oleh unit bom mendapati tiada bahan letupan di situ. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain