suria

Jabatan Peguam Negara Dikemaskini Mengenai Undang-Undang P. Raya - Abdul Gani

PUTRAJAYA: Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata kini tiba masanya bagi jabatannya mengemaskini perubahan-perubahan penting berhubung undang-undang dan prosedur pilihan raya.

Dalam ucapannya pada perasmian permulaan Tahun Undang-undang 2013 di sini pada Sabtu, Abdul Ghani berkata perubahan-perubahan itu bertujuan menentukan pilihan raya akan datang dikendalikan secara telus, adil dan mencerminkan beberapa perakuan Jawatakuasa Pilihan Khas mengenai penambahbaikan sistem pilihan raya.

"Perubahan itu juga bertujuan menangani antara lain, dakwaan sejak beberapa tahun lepas seperti mengundi berulang oleh pengundi berdaftar, serta kurangnya ketelusan dan manipulasi kumpulan pengundi tidak hadir," kata beliau.

Antara perkara yang memerlukan perhatian Jabatan Peguam Negara adalah berhubung pengenalan dakwat kekal, kategori orang yang layak menjadi 'pengundi pos', dan had masa bagi penarikan pencalonan, kata beliau.

Menyentuh mengenai Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Abdul Gani berkata kerajaan telah berjanji memberi dana tambahan RM20 juta bagi 2013 sebagai menandakan pentingnya projek kepentingan awam itu.

Beliau berkata jumlah itu peningkatan empat kali lebih besar dari asal RM5 juta dibekalkan pada 2011 dan RM10 juta pada 2012.

Setakat 31 Okt tahun lepas, perkhidmatan yang diberikan oleh 788 peguam panel YBGK seluruh Malaysia meliputi 40,483 orang dari masa reman hingga pendengaran kes, kata beliau.

"Perlu diperhatikan bahawa sesetengah peguam YBGK memberi khidmat mereka secara sukarela tanpa membuat tuntutan bayaran oleh kerana mereka menganggap ini sebagai tanggungjawab sosial," kata beliau.

Abdul Gani juga memberitahu forum bahawa projek Rumah Sebagai Pejabat jabatan itu yang dilancarkan pada fasa percubaan enam bulan pada 1 Okt tahun lepas, kini mempunyai 36 pegawai berprestasi tinggi bertugas dari rumah. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain