suria

Speaker Sabah Gesa Hentikan Debat Isu Kalimah Allah

KOTA BELUD: Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menggesa hentikan segera perdebatan penggunaan kalimah "Allah" oleh bukan Islam, dibimbangi perdebatan berlarutan mungkin memberi ruang kepada ekstremis semua agama mengambil kesempatan daripada situasi itu.

Semasa membuat gesaan itu, bekas Ketua Menteri itu berkata keamanan, perpaduan dan kestabilan yang dinikmati di negara ini perlu dikekalkan.

"Jangan politikkannya (penggunaan kalimah Allah) dan cuba meraih perhatian. Jangan mainkan isu sensitif. Kita perlu kekalkan keharmonian dan saling hormat menghormati.

"Di Sabah, kami tidak berdepan masalah seperti ini dan ia tidak patut dijadikan polemik. Sebarang isu yang dianggap sensitiviti, perlu didebat secara tertutup dan bukan secara terbuka di media," katanya dalam ucapan pada majlis penyampaian sumbangan RM10,000 daripada Yayasan Kota Belud kepada Lok Yuk Kindergarden milik Gereja Basel di sini, Jumaat.

Salleh, yang juga pengerusi yayasan itu berkata, ahli politik perlu berhati-hati dalam memberikan komen berhubung isu-isu panas yang boleh mencetuskan kebencian dan rasa tidak percaya.

Kemudiannya, Salleh yang juga Timbalan Badan Perhubungan Umno Sabah berkata kepada pemberita, kepentingan dan kebajikan masyarakat Cina di Sabah dijaga dengan baik di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau memberikan contoh kerajaan membelanjakan kira-kira RM30 juta bagi bantuan kewangan kepada sekolah Cina dan pembinaan tokong di negeri ini dalam beberapa tahun lalu, dan menurutnya semua itu menunjukkan keikhlasan BN dalam menjaga keperluan masyarakat itu.

Salleh berkata, selain itu, kerajaan negeri Sabah menyalurkan kira-kira RM150 juta dalam bentuk geran kepada badan-badan agama bukan Islam dan sekolah termasuk sekolah swasta Cina dan sekolah mubaligh sejak 2004. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain