suria

Kalimah Allah: Jati Cadang Anjur Himpunan Bantah

SHAH ALAM: Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hasan Ali berhasrat mengadakan satu perhimpunan secara besar-besaran di Stadium Melawati di sini bagi membantah penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam dalam tempoh dua minggu lagi.

"Minta anda semua uar-uarkan mengenai perhimpunan ini kepada saudara-saudara kita. Kita berhimpun untuk mempertahankan martabat dan kesucian agama Islam," katanya yang ditemui pemberita pada himpunan bantahan penggunaan kalimah Allah di Masjid Negeri di sini, Jumaat.

Mengulas mengenai isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam yang ditimbulkan kembali Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng baru-baru ini, Hasan berkata beliau tidak nampak rasional kumpulan terbabit mahu menggunakan kalimah tersebut dalam kitab Bible.

"Kita tidak pernah dicabar sehingga bukan Islam, khususnya orang Kristian yang mahu menggunakan kalimah ini dalam Bible bahasa Melayu. Sehingga hari ini, saya tidak nampak rasional dan objektif tujuan mereka," katanya.

Namun, beliau turut kecewa kerana terdapat sebahagian daripada umat Islam yang sudah meluluskan atau mengiktiraf bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh orang bukan Islam.

Jelas beliau, sekiranya penggunaan kalimah Allah oleh golongan tersebut dibenarkan, maka ia akan memberi kesan kepada keluarga, masyarakat dan generasi Islam akan datang.

Sementara itu, Exco Pemuda Umno, Datuk Sohaimi Shahadan berkata isu tersebut sebelum ini telah reda tetapi sengaja dibangkitkan semula oleh pihak tertentu untuk meraih undi golongan Kristian.

"Isu ini tidak boleh dipolitikkan. Jika disalahgunakan, ia akan membawa tanggapan buruk dan kesan kepada generasi akan datang...boleh timbulkan kekeliruan," katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak supaya bersama-sama mempertahankan kalimah suci yang eksklusif untuk orang Islam itu.

"Ini soal agama...soal akidah. Jangan mudah mengadaikan kalimah suci ini," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain