suria

Ibu Antara Tiga Ditahan Kes Dera

SHAH ALAM: Polis menahan tiga individu termasuk ibu kepada kanak-kanak perempuan berumur dua tahun yang menjadi mangsa dera di Desa Jaya, Gombak Rabu lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata turut ditahan ialah lelaki berumur 23 tahun yang dipercayai teman lelaki ibu mangsa yang berumur 27 tahun dan seorang remaja perempuan berumur 15 tahun.

Beliau berkata mereka ditahan di sebuah rumah di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh pada pukul 7.30 malam Khamis.

"Kesemua mereka turut didapati positif dadah," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Tun Hisan berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah kereta Proton Saga yang dilapor hilang di Genting Highlands pada Disember lepas.

Turut dirampas ialah sebatang rotan dan penyangkut baju yang dipercayai digunakan dalam kes itu.

"Kesemua suspek ditahan reman empat hari sehingga Isnin ini," katanya.

Kanak-kanak tersebut dilaporkan didera lelaki berkenaan dengan mencucuh puntung rokok pada kedua-dua belah tangannya manakala kakinya diikat.

Dilaporkan ibu mangsa yang tidak tahan melihat anaknya didera telah menghubungi rakannya yang juga ibu angkat mangsa bagi mendapat pertolongan.

Kanak-kanak itu dilapor menerima rawatan di Hospital Selayang sementara kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain