suria

Gangguan Bekalan Air Lembah Klang Pulih Semula Khamis Depan - Syabas

KUALA LUMPUR: Masalah gangguan bekalan air yang melanda Lembah Klang sejak dua minggu lepas akan pulih sepenuhnya selewat-lewatnya Khamis depan.

Ketua Pegawai Operasi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) Datuk Ruslan Hassan berkata, gangguan yang melibatkan lebih 27,000 akaun itu dapat diatasi selepas kerja pemasangan paip pintasan dari Kolam Air Dusun Kubong ke Kolam Sedut AU3 Baru dan AU3 Lama dilaksanakan sejak Khamis lepas.

"Pintasan dijalankan serta-merta selepas mendapat kelulusan daripada SPA N(Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara) dan kita menjalankan kerja siang dan malam. Dan ia akan siap Ahad ini atau selewat-lewatnya pagi Isnin.

"Apabila siap (pintasan), Syabas menjangkakan masalah air ini akan selesai pada hari Rabu atau selewat-lewatnya Khamis," katanya kepada pemberita pada program sumbangan air minuman di Flat Sri Melaka di sini, Jumaat.

Beliau berkata, gangguan bekalan air sebelum ini disebabkan pengurangan kadar pengepaman air dari Rumah Pam Wangsa Maju sebanyak 30 juta liter sehari (JLH).

Ruslan berkata, sistem pam Wangsa Maju beroperasi pada tahap yang dihadkan iaitu 180 JLH berbanding kadar pam sebelum ini iaitu 210 JLH bagi mengelakkan kerosakan akibat lebih bebanan.

Bagaimanapun, beliau berkata projek pintasan itu hanya penyelesaian jangka pendek dan bagi memastikan masalah seumpama itu tidak berulang, sebuah Rumah Pam bersebelahan Rumah Pam Wangsa Maju akan dibina dengan kapasiti sebanyak 120 JLH. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain