suria

Pusat Khidmat Masyarakat Dun Alor Limbat Dipecah Masuk

KUALA TERENGGANU: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Alor Limbat yang terletak di Padang Midin, Marang dilapor dipecah masuk dan lapan buah komputer serta sebuah alat projektor di dalamnya didapati hilang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K. Manoharan berkata kejadian disedari seorang pekerja kira-kira pukul 8.30 pagi semalam, yang mendapati jeriji dan pintu utama pusat itu terbuka dengan terdapat kesan umpilan pada jerijinya.

Tiga buah bilik di pusat itu didapati berselerak, namun tiada dokumen yang dilapor hilang, katanya kepada pemberita pada Khamis.

Kamera litar tertutup di pusat itu didapati telah lama rosak.

Beliau berkata polis percaya kejadian pecah masuk itu dilakukan penduduk sekitar.

Manoharan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi pihak polis termasuk mengenai individu yang mahu menjual komputer murah. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain