suria

Peraturan Daftar Peranti Perubatan Berkuatkuasa Julai Ini

PUTRAJAYA: Berkuatkuasa 1 Julai semua pengeluar peranti perubatan diwajibkan mendaftar produk-produk mereka dengan sebuah badan khas yang dilantik sebagai pihak berkuasa Peranti Perubatan, bagi menjaga kualiti produk dalam negara.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ia adalah antara peraturan yang diperkenalkan di bawah Akta Peranti Perubatan 2012, yang diwartakan tahun lepas.

Beliau berkata selain menguruskan soal pendaftaran, badan itu juga akan bertindak sebagai ejen pemantau bagi memastikan kualiti peranti-peranti perubatan dalam negara terpelihara, sekaligus membina keyakinan pelabur di sini kerana tidak timbul lagi isu hak cipta dengan paten peranti itu pula dilindungi.

Menurutnya, kementerian juga sedang berusaha meningkatkan daya saing syarikat-syarikat peranti perubatan dalam negara, contohnya dari segi penyediaan insentif kewangan, pengecualian duti import, dan juga penyediaan makmal ujian yang lebih canggih.

"Kita juga bantu dari segi pembangunan modal insan syarikat terbabit, meningkatkan kesedaran kalangan mereka mengenai kepentingan mutu, di samping mengukuhkan lagi kedudukan mereka," katanya dalam satu persidangan media selepas melancarkan produk sarung tangan perlindungan radiasi berjenama 'Sheildtm' di bangunan Perdana Putra di sini.

Liow berkata syarikat-syarikat peranti perubatan diberi tempoh dua tahun untuk mendaftar, tindakan undang-undang akan diambil sekiranya gagal mereka berbuat demikian.

Difahamkan mengikut Akta Peranti Perubatan 2012, mereka yang tidak mematuhi syarat itu boleh dikenakan denda maksimum RM200,000.

Sementara itu, Liow berkata pembangunan dalam sektor pembuatan alat perubatan merupakan satu Projek Permulaan (EPP) di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) bagi sektor Penjagaan Kesihatan yang baru dilancarkan tahun lepas, menyusuli enam EPP di bawah sektor berkenaan.

Beliau berkata di bawah EPP ketujuh kementerian itu, pembuatan alat atau peranti perubatan diharap dapat menyumbang RM11.4 bilion kepada pendapatan Kasar Negara (GNI) menjelang tahun 2020, di samping menjana 86,000 pekerjaan berpendapatan tinggi.

Merujuk kepada enam EPP kementerian yang dilancarkan kira-kira dua tahun lalu pula, beliau berkata setakat ini ia mencapai kejayaan amat cemerlang, jauh mengatasi sasaran yang ditetapkan, dan menurutnya semua tujuh EPP itu dijangka dapat menjana hasil RM42 bilion setahun kepada negara menjelang 2020.

Terdahulu, dalam ucapannya di majlis pelancaran sarung tangan Sheildtm keluaran MECR Sdn Bhd dengan kerjasama WRP Asia Pacific Sdn Bhd, Liow berkata produk inovasi itu akan dapat memberikan perlindungan yang lebih sempurna kepada para doktor dan juga petugas-petugas perubatan.

Menurutnya beliau difahamkan ketika ini hanya ada tiga syarikat pengeluar sarung tangan perlindungan radiasi di seluruh dunia, dan beliau merasa bangga kerana usahasama MECR dan WRP itu berupaya meletakkan Malaysia sebagai pengeluar ulung produk berkenaan di rantau Asia.

Antara kelebihan sarung tangan ini ialah ia bebas plumbum yang menjadikan ia lebih ringan, bebas toksik, tidak berdebu dan dibuat daripada getah asli. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain