suria

KMPP Cabar DAP Umum Calon Melayu Pada PRU13

GEORGE TOWN: Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) pada Khamis mencabar DAP mengumumkan calon-calon Melayu yang akan bertanding mewakili parti itu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), kata Presidennya Rahmad Isahak.

"KMPP mendesak DAP memberikan sekurang-kurangnya tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen kepada orang Melayu.

"Walaupun telah ada komimen bahawa akan wujud calon-calon Melayu DAP untuk PRU-13 nanti, namun kenyataan itu dikhuatiri hanya indah khabar dari rupa sahaja," katanya kepada pemberita di sini.

Rahmad berkata desakan itu juga bertujuan supaya DAP dapat membuat kenyataan yang tepat mengenai calon yang akan bertanding pada PRU-13 nanti bagi mengelak timbulnya kemarahan di kalangan orang Melayu bahawa mereka bukan lagi keutamaan dalam parti itu selepas apa yang berlaku dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Beliau berkata cabaran KMPP itu tidak bermaksud untuk memberi keuntungan kepada pihak-pihak tertentu sebaliknya demi nasib dan masa depan bangsa Melayu yang menganggotai DAP.

Dalam perkembangan lain, Rahmad turut mendesak Pendaftar Pertubuhan (ROS) melakukan siasatan berhubung isu pemilihan CEC DAP bulan lepas yang menimbulkan pelbagai kontroversi.

"KMPP mahu DAP tidak memandang mudah kesilapan yang telah berlaku dan mendesak ROS campur tangan khususnya dalam kiraan undi dan proses pemilihan CEC," katanya.

Rahmad juga berharap dua wakil Melayu yang dipilih menganggotai CEC iaitu Zairil Abdullah dan Dr Ariffin SM Omar dapat menjalankan tanggungjawab mereka membantu orang Melayu khususnya di Pulau Pinang. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain