suria

Tahanan Larikan Diri Mungkin Guna Serbuk Perencah Mi Segera

GEORGE TOWN: "Serbuk" yang digunakan untuk mengaburi mata anggota polis sebelum tujuh tahanan melarikan diri daripada tahanan polis di Butterworth pada Isnin mungkin serbuk perencah mi segera.

Menurut satu sumber, suspek mungkin memperoleh serbuk tersebut ketika ahli keluarga mereka membeli mi segera di kantin Penjara P.Pinang pada waktu melawat beberapa hari sebelum itu.

Difahamkan suspek tidak menggunakan kesemua paket serbuk perencah, sebaliknya menyimpannya dalam botol kecil untuk tujuan melarikan diri.

Timbalan Ketua Polis P.Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata polis masih menyiasat bagaimana suspek memperolehi serbuk tersebut.

Beliau berkata, pihaknya telah menghantar sampel serbuk yang diambil daripada van untuk ujian, sambil menambah mereka masih menunggu laporan mengenainya.

Pengarah Penjara P.Pinang, Rosoman Abu Bakar berkata mereka telah mengikut prosedur operasi standard dengan menjalankan pemeriksaan badan tahanan sebelum membenarkan mereka meninggalkan penjara.

Pada Isnin, salah seorang daripada sembilan tahanan yang sedang dibawa ke kompleks mahkamah Butterworth dengan sebuah van polis melemparkan serbuk cili kepada polis yang mengiringi mereka sebelum melarikan diri dengan kenderaan.

Van itu kemudian ditemui ditinggalkan di sebuah kampung di Tasek Gelugor. Dua tahanan enggan melarikan diri dan ditahan di kawasan berdekatan tetapi tujuh yang lain melarikan diri.

Babak ini berlaku di sepanjang Jalan Lingkaran Luar Butterworth di sini apabila empat anggota polis termasuk pemandu membawa sembilan tahanan ke mahkamah Butterworth untuk sebutan kes mereka bagi permohonan reman.

Tahanan, yang kebanyakannya terbabit dalam kes rompakan dibawa dari penjara P.Pinang.

Semasa dalam perjalanan, beberapa orang tahanan berpura-pura bergaduh antara satu sama lain sebelum pemandu van berkenaan memberhentikan kenderaan dan turun bersama seorang lagi anggota polis untuk memeriksa kekecohan yang berlaku.

Kemudian, tahanan bertindak menendang pegawai berkenaan dan melemparkan serbuk cili di mukanya.

Suspek kemudian merampas kunci untuk membuka gari mereka sebelum melarikan diri dengan van. Mereka juga membawa dua tahanan lain.

Beliau berkata salah seorang suspek begitu agresif dan pintar dalam membuka kunci kerana dia disiasat di bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata atau cubaan untuk menyebabkan kematian atau cedera parah, dan Seksyen 395 kanun yang sama, untuk samun berkumpulan.

Beliau menambah lebih 120 anggota polis dan pegawai, termasuk dari unit udara dan Pasukan Gerakan Am, terlibat dalam operasi mencari itu.

"Kami percaya mereka masih bersembunyi di negeri ini. Sesiapa yang mempunyai maklumat atau mengesyaki suspek berkeliaran di sekitar kawasan mereka, sila hubungi kami di balai polis yang terdekat atau di 04-2691999," katanya selepas melancarkan Unit Motosikal Peronda di SRJK Li Tek A, B dan cawangannya di Lebuh Macallum.

Artikel Lain