suria

Polis Tumpas Tiga Cubaan Seludup Dadah, Rampas Dadah Bernilai RM5 Juta

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menumpaskan tiga cubaan menyeludup masuk dadah antarabangsa dengan merampas 35.17kg syabu bernilai kira-kira RM5 juta serta menangkap lima warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang sejak dua minggu lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata kesemua suspek itu berumur antara 25 dan 41 tahun dan merupakan keldai dadah yang cuba membawa masuk dadah ke negara ini.

"Kami telah melakukan tiga tangkapan berasingan iaitu pada 26 Dis tahun lepas dengan menangkap tiga warga India bersama 8.4kg dadah jenis syabu dan tangkapan kedua pada 30 Disember tahun lepas kami telah menahan seorang perempuan warganegara Thailand bersama 1.8kg dadah kokain.

"Semalam sekali lagi kami berjaya menahan seorang lelaki warga India bersama sebuah beg troli yang mengandungi 14 kotak berlabel jenama makanan berisi 32 bungkusan plastik dadah jenis syabu dianggar 24.97kg," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, Selasa.

Beliau berkata dadah yang cuba diseludup oleh kelima-lima suspek adalah untuk pasaran Malaysia.

Kesemua suspek ditahan reman dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Lain