suria

Penghantaran CD, VCD Haram Melalui Syarikat Kurier Digagalkan

GEORGE TOWN: Penghantaran cakera padat (CD) dan cakera padat video (VCD) haram menggunakan perkhidmatan syarikat kurier digagalkan apabila rampasan dibuat oleh pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang di sini Rabu.

Sebanyak 9,300 keping CD dan VCD cetak rompak bernilai RM46,000 dirampas di tempat penghantaran barangan di Jelutong dan Seberang Perai pada pukul 7 pagi tadi, kata Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Negeri, Abdul Rosik Yakub.

Sepasukan enam orang pegawai dari pejabat KPDNKK Pulau Pinang telah menyerbu dua tempat penghantaran barangan itu dan merampas pelbagai CD dan VCD haram yang dipercayai baru sampai dari Lembah Klang untuk edaran di sekitar Pulau Pinang.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Abdul Rosik berkata alamat pengirim dan penghantar kurang jelas dan hanya menemui beberapa kod pada dokumen bungkusan yang dipercayai hanya difahami antara kedua-dua pengirim dan penerima.

CD dan VCD haram yang dirampas itu terdiri dari lagu Tahun Baru Cina, filem Inggeris terbaru di pasaran serta dua filem Inggeris yang didakwa belum lagi ditayangkan di pawagam Malaysia.

"Tiada tangkapan dibuat namun siasatan lanjut akan dibuat terhadap dokumen yang dijumpai bersama bungkusan tersebut. Laporan polis telah dibuat terhadap rampasan berkenaan," kata Abdul Rosik kepada pemberita di sini Rabu.

Katanya rampasan itu merupakan hasil pemerhatian pegawai KPDNKK Pulau Pinang selama seminggu terhadap aktiviti penghantaran CD dan VCD cetak rompak berkenaan.

Kes ini disiasat di bawah Akta Hak Cipta 1987 yang memperuntukkan denda sehingga RM20,000 untuk setiap keping atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Lain