suria

Pejabat MCA Klang Dipecah Masuk Buat Kali Kedua

KLANG: Pejabat MCA Klang di Jalan Pendamar telah dipecah masuk buat kali kedua dalam jangka masa 10 hari.

Selepas melarikan 13 buah komputer pada 28 Disember lalu, pencuri membawa lari empat buah komputer lagi pada Selasa.

Ketua Pemuda MCA Klang Ching Eu Boon mendakwa ia sebagai perbuatan sabotaj politik, kerana hanya pejabatnya sahaja yang telah digeledah dalam insiden awal pagi Selasa.

"Pejabat lain tidak disentuh. Mereka tidak mengganggu bilik (Ketua MCA Klang) Datuk Teh Kim Poo.

"Komputer saya mengandungi senarai mangsa banjir yang akan menerima pampasan daripada Jabatan Perdana Menteri.

"Di dalamnya juga adalah senarai induk pengundi di kawasan Parlimen dan penyokong kami," katanya kepada The Star.

Ching berkata kakitangan beliau mendapati berlakunya kejadian pecah masuk apabila mereka datang bekerja pada pukul 10.20 pagi Selasa.

"Mereka meninggalkan pejabat pada pukul 12.30 pagi, jadi ia mesti dipecah masuk pada awal pagi," katanya.

Beliau telah membuat laporan polis mengenai perkara itu, dan akan memasang gril tambahan, kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem penggera.

Artikel Lain