suria

Krisis Air Lembah Klang Mungkin Hingga Tahun Baru Cina

KUALA LUMPUR: Krisis air di Lembah Klang terutamanya di Ampang dan Cheras dijangka berterusan sehingga sambutan perayaan Tahun Baru Cina.

Situasi air di kedua-dua kawasan itu akan dipantau rapi dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) akan memaklumkan kepada penduduk mengenai kedudukan terkini setiap hari.

Pengerusi Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail berkata berikutan itu, Syabas menempatkan petugas teknikal dan bukan teknikal dari pelbagai jabatan untuk membantu penduduk yang terjejas semasa berlakunya krisis ini.

"Menjadi tanggungjawab kita untuk membekalkan air bersih kepada penduduk, dan memandangkan kita tidak boleh berbuat demikian melalui saluran paip, kita akan mengagihkan air menggunakan lori dan tangki. Kita akan membantu membawa air ke kediaman mereka," katanya.

Rozali bercakap kepada kira-kira 200 petugas Syabas dalam majlis taklimat sebelum mereka dihantar bertugas ke kawasan yang telahpun ditetapkan, di ibu pejabat Syabas di sini, Selasa.

Rozali berkata sekiranya ada sukarelawan yang ingin membantu penduduk yang terjejas akibat krisis air ini, mereka diminta menghubungi ibu pejabat Syabas untuk mendaftar sebagai sukarelawan dan ditugaskan di kawasan kritikal.

Kira-kira 1,000 petugas Syabas terlibat dalam operasi siang malam, termasuk 450 petugas teknikal yang telahpun ditugaskan apabila krisis itu bermula dua minggu lepas.

Rozali turut membayangkan krisis itu akan berpanjangan memandangkan terdapat kekurangan air yang dirawat, peningkatan permintaan dari semasa ke semasa dan penangguhan program CAPEX yang turut merangkumi kerja pembaikan, menaik taraf, atau pertukaran aset dan sistem pengagihan air semasa oleh kerajaan negeri.

Sementara itu, Pengurus Unit Perhubungan Awam Syabas Norhaslina Ibrahim memberitahu Bernama, mengenai krisis air yang sedang berlaku di Lembah Klang, pam di rumah pam Wangsa Maju hanya berupaya mengepam 180 juta liter air sehari, 40 juta liter kurang daripada apa yang diperlukan bagi memenuhi keperluan semua pengguna di kawasan yang terjejas.

"Bagi membekalkan air yang mencukupi kepada semua pengguna, pam itu perlu mengepam sekurang-kurangnya 210 juta liter air setiap hari, bagaimanapun kami tidak berupaya berbuat demikian dengan pam sedia ada memandangkan ia telah terlebih guna dan akan terlebih bebanan hingga mengakibatkan gangguan air lebih besar," katanya.

Artikel Lain